Saya sedih diberitahu wartawan Berita Harian digantung dari membuat liputan Sidang Dewan Negeri Kelantan yang sedang berlangsung sekarang.

Saya sedih juga kerana banyak pihak yang tidak berada didalam dewan Undangan Negeri Kelantan menyelar ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dari PAS yang mengusulkan pengantungan tersebut.

Lebih saya sedih bila mendengar hujah Dato’ Takiyuddin Hassan, ahli exco Kerajaan Negeri Kelantan yang antara lain turut melahirkan kekesalan terhadap insiden ini, antara lain, Dato’ Taki berkata, wartawan itu semua kawan kami, kami tahu mereka hanya melaporkan dan tidak banyak yang disalah laporkan. Yang menjadi masalahnya ialah bila orang-orang tertentu di Kuala Lumpur yang tidak berada di dalam Dewan yang mulia ini membuat ‘headline’ sensasi tanpa merujuk dan memahami konteks titah ucapan DYMM Tuanku.

Berita Harian diberi peluang untuk memohon maaf, tetapi mengapa Berita Harian masih mahu mempertahankan benang yang basah. Akibat kedegilan mereka di Kuala Lumpur, anak-anak buah di Kelantan yang terpaksa menanggungnya.

Dua perkara pokok dan dua projek besar yang ditegur oleh DYMM Tuanku ialah

1. Projek Jambatan Ke dua Sultan Yahya Petra yang dilakukan secara runding terus oleh Kerajaan Pusat dengan Pemaju. Perdana Menteri sebelum PRU12 datang ke Kelantan merasmikan projek itu. Sudah hampir setahun, apa jadi pada projek itu? Hanya 8% yang berjalan. Wang sudah banyak dihabiskan. Gossip sudah berselerak di kedai kopi.
2. Projek Kampus Universiti Malaysia Kelantan. Dua tapak untuk satu Universiti. Satu kampus di Bachok bekas kawasan Bekas Bakal Menteri Besar Kelantan saudara kita Awang Adek. Satu tapak di Jeli, kawasan Bekas Menteri Pendidikan Tinggi, saudara kita Mustapha Mohamed. Kelulusan tapak sudah lama selesai. Sebelum PRU12 telah berkali-kali dirasmikan termasuk oleh PM Abdullah, tetapi sekarang sunyi sepi. Projek ini juga dijalankan secara runding terus oleh Kerajaan Pusat dengan pemaju.

DYMM Tuanku yang prihatin memang turut menegur pentadbiran Kerajaan Negeri dan ahli-ahli yang bertanggungjawab berterimakasih di atas teguran Tuanku dan menyahut cabaran untuk melakukan lebih baik.

Benarkah Tuanku murka? Kalau Tuanku murka mengapa di dalam berita yang ditulis tidak sepatah perkataan murka keluar? Jika benar Tuanku murka mengapa hanya Berita Harian yang meletakkan perkataan murka pada headlinenya?

Saya mempunyai kawan baik dari Univerisiti dahulu lagi di Berita Harian Kelantan. Bahkan semua wartawan di Kelantan kawan baik saya. Sehinggakan ada yang pernah menawarkan saya bersembunyi di rumah mereka sewaktu polis mencari saya dahulu. Selalunya saya tahu mereka tidak pernah salah lapor. Mereka menjalankan tugas mereka dengan amanah. Bahkan kebanyakan mereka juga saya tahu secara peribadi menyanjung pentadbiran Negeri Kelantan. Saya juga selalu mendengar rungutan mereka tentang sikap orang-orang di Kuala Lumpur yang selalu mengakibatkan mereka berada di dalam keadaaan serba salah.

Sebaliknya saya percaya, Kelab Wartawan Melayu Kelantan tidak perlu merayu atau menjelaskan kepada Speaker Dewan kerana tidak berpuashati dengan keputusan Dewan. Mereka sepatutnya menghantar memorandum kepada orang-orang di Kuala Lumpur supaya lebih beramanah.

Yang silap bukan ahli Dewan Negeri Kelantan. Yang silap bukan wartawan. Yang silap ialah orang-orang di Kuala Lumpur yang berniat jahat.

Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak menghukum wartawan. Yang dihukum ialah Berita Harian. Jika wartawan itu hadir sebagai blogger dan membuat liputan untuk blog peribadi mereka, sudah tentu pintu Dewan Negeri Kelantan terbuka luas untuk mereka. Bahkan sebagai rakan, saya sendiri sudi mengiringi mereka masuk bersama. Saya pasti YB Speaker pun tidak akan menghalang sebarang berita dari Dewan Negeri untuk disiarkan. Kerajaan Kelantan sentiasa mahu liputan meluas supaya masyarakat Malaysia tahu perkara-perkara sebenar.

Terlalu banyak penjelasan dan jawapan yang dibuat oleh pihak Kerajaan Negeri di dalam Dewan Negeri dan sudah tentu kita mahu ianya menjadi pengetahuan umum. Malangnya, walaupun letih dilaporkan oleh para wartawan di Kelantan, bila berita itu tiba di Kuala Lumpur, seringkali tak satu pun yang akan tercatat di dalam akhbar esoknya.

Walau apapun yang dikata, kita harus menyanjung Berita Harian diatas kecekalannya mempertahankan kebebasan media, termasuk kebebasan mengelirukan pembaca dan kebebasan memutar belitkan fakta. Bukankah itu juga kebebasan namanya.

Akhir sekali, pembaca juga mempunyai kebebasan. Kebebasan untuk memilih akhbar yang hendak dibacanya.