Sekian lama orang-orang Melayu dibelenggu kepercayaan terhadap pentingnya jati diri yang bertitik tolak dari perlambangan dan metafora semata-mata. Kepercayaan yang diteraju oleh UMNO sejak 1946. Kepercayaan yang sudah tidak kemana.

Perjuangan terhadap mengekalkan ketuanan Melayu berteraskan metafora dan retorik semata-mata mungkin releven waktu awal politik Melayu Moden tetapi setelah lebih setengah abad merdeka, ternyata ia sudah mencapai tahap stagnant. Malangnya, kita masih dirasuah dengan idealisme yang sama tetapi sebenar-benarnya, ketuanan itu hanyalah ketuanan UMNO.

Satu ketika dahulu Orang-orang Melayu tiada pilihan. Mengharapkan pembangunan hanya dengan belas ehsan UMNO. Ini berlaku kerana pemimpin-pemimpin terbaik dan berpengalaman di kalangan orang-orang Melayu majoritinya berada di dalam UMNO. Kini orang-orang Melayu sudah memiliki alternatif. Orang-orang Melayu kini mempunyai pilihan.

Tetapi persoalannya adakah orang Melayu mampu membuat pilihan itu?

Saya bersetuju dengan Tan Sri Khalid, Menteri Besar Selangor supaya pintu UITM di buka kepada golongan bukan Bumiputera.

1. Saya bagaimanapun percaya jika pintu itu dibuka, ia tidak akan mendapat sambutan yang baik dari mahasiswa-mahasiswa bukan bumiputera kerana ianya sebenarnya sudah terlewat.
2. Di dalam polemik Melayu mahukan universiti khas untuk bumiputera, Melayu telah buta dari memikirkan komplikasinya.
3. Atas dasar politik, selepas pilihanraya 1999, apabila UMNO terngadah dengan merosotnya sokongan pengundi Melayu kepada mereka, UMNO menerima usul untuk menaiktaraf Institut Teknologi Mara kepada sebuah universiti dengan harapan mendapat semula sokongan Melayu.
4. Apa yang orang-orang Melayu tidak sedar, apabila membuka pintu kepada ITM menjadi UITM, pemimpin Melayu dalam kerajaan juga mendapat tekanan dengan pelbagai tuntutan yang sama dari Bukan Bumiputera yang pada tahun 1999 setia mengundi Barisan Nasional.
5. Akibatnya, pemimpin-pemimpin Melayu terpaksa meluluskan tuntutan yang sama kepada bukan bumiputera.
6. Di dalam menjamin ketuanan UMNO yang ketika itu bergantung kepada pengundi bukan bumiputera untuk menerajui negara, maka MCA, Gerakan dan MIC diberi hak untuk menubuhkan universiti-universiti mereka sendiri untuk anak bangsa mereka.
7. Kerana mahu memiliki satu Universiti khas untuk bumiputera, menjadi taksub sehingga buta melihat bahawa tindakan mereka menyebabkan kerajaan terpaksa memberi hak kepada kaum-kaum lain juga memiliki mereka sendiri.
8. Satu ketika dahulu, Orang Melayu bertungkus lumus menekan kerajaan tidak memberi hak kepada penubuhan Universiti Merdeka yang diusulkan oleh bukan bumiputera.
9. Tetapi selepas di sogok dengan satu Universiti Bumiputera, kita pun berpuashati dan senyap sunyi dan buta tuli terhadap universiti-universiti lain yang ditubuhkan oleh bukan Melayu tumbuh seperti cendawan.
10. Dari segi prestij, UITM masih sebuah institusi pengajian tinggi awam dan mempunyai dasar-dasar yang rigid.

Tetapi ambil contoh univerisiti milik MCA, Universiti Tunku Abdul Rahman adalah sebuah IPTS dan mendapat begitu banyak bantuan kewangan dari luar.

1. UTAR membuka pintu kepada semua kaum dan yurannya adalah di antara yang terendah.
2. UTAR mempunyai kemudahan serba moden dengan setiap fakulti mempunyai perpustakaan mereka sendiri.
3. UTAR kini mempunyai kampus yang amat conducive untuk menjana minda mahasiswanya di Kampar, tapak yang diberi percuma oleh Tajol Rosli dan Kerajaan Perak di bawah pimpinan UMNO.
4. Sebagai seorang yang pernah mengajar di UTAR, saya sendiri merasakan kehebatan dan kesungguhan UTAR untuk menjadi yang terbaik dan oleh sebab itu saya sehingga hari ini yakin bahawa didalam jangka masa yang tidak lama lagi, UTAR akan meninggalkan UITM di belakang.
5. Tapi orang Melayu tidak kisah, mereka hanya suka bercakap pasal ketuanan Melayu tetapi yang penting bagi mereka ialah menang sorak, kampung tergadai pun tak mengapa.

Orang Melayu begitu bangga dengan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda. Orang Melayu merasakan bahawa bahasa Melayu adalah satu cara untuk mereka meletakan ketuanan mereka mengatasi segala-galanya.

1. Akibatnya orang-orang Melayu mendesak diperkasakan Bahasa Melayu sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan.
2. Orang-orang Melayu begitu taksub dengan Bahasa Melayu dan begitu bangga sehingga mengakibatkan salah satu punca anak-anak Melayu ketinggalan.
3. Kadar kemahiran bahasa kedua iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa-bahasa lain seperti Mandarin, Perancis dan sebagainya masih lemah dikalangan anak-anak Melayu.
4. Akibatnya kebanyakan Mahasiswa Melayu kehilangan daya saing di universiti kerana kebanyakan buku rujukan utama masih di dalam bahasa bukan Melayu.
5. Siswazah Melayu kehilangan daya saing berbanding dengan siswazah keturunan Cina dan India didalam sektor swasta kerana penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah.
6. Akibatnya kerajaan terpaksa memaksa pengajian Sains dan Matematik dibuat di dalam Bahasa Inggeris.

Akibatnya begitu banyak tekanan daripada orang-orang Melayu atas dasar kedaulatan dan hak-hak mereka didalam perlembagaan.

Sewaktu saya di UTAR, saya mendapati tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan Mahasiswa-mahasiswa di situ juga rendah, ini adalah kerana,

1. Kebanyakan mereka dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.
2. Kebanyakan mereka dari luar bandar dan dari keluarga miskin.
3. Mereka yang datang dari keluarga berada tidak ke UTAR tetapi keluar negara.
4. Mereka yang mempunyai penguasaan Bahasa Inggeris juga banyak memilih keluar negara.

UTAR mengambil langkah radikal bagi mengatasi masalah ini,

1. Semua kursus melainkan Kursus Bahasa Cina dan Kesusasteraan Cina di ajar di dalam Bahasa Inggeris.
2. Kelas Tutorial di kendalikan di dalam Bahasa Inggeris.
3. Peperiksaan di lakukan di dalam Bahasa Inggeris.

Adakah masyarakat Cina menekan MCA supaya mengubah dasar ini demi bahasa ibunda mereka? Tidak pula kedengaran kerana mereka tahu ini adalah demi kebaikan dan demi masa depan anak-anak mereka.

Ramai juga mahasiswa UTAR gagal kerana kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris tetapi ia tidak dijadikan isu kerana ini adalah untuk kebaikan mahasiswa itu sendiri seterusnya untuk kebaikan dan keutuhan keturunan mereka.

Orang Melayu, akibat diracuni sekian lama oleh pemerintah menjadi begitu taksub dengan Kemelayuan mereka sehingga ianya tidak boleh dipertikaikan langsung.

Orang kita lebih suka metafora dan retorik. Jangan cabar hak-hak orang Melayu dan jangan terbalikan bendera, itu semua lebih penting biarpun negara dan bangsa menjadi tunggang-langgang.

Biar papa asal bergaya. Itulah pegangan segelintir orang-orang Melayu yang masih kukuh mempercayai apa yang dilontarkan oleh UMNO. Yang ironinya, UMNO sudah memerintah lebih 50 tahun dan sudah lebih 50 tahun Perdana Menteri Malaysia adalah orang Melayu, tetapi orang Melayu masih tidak puas hati dengan pencapaian mereka. Disebalik polemik ini, orang Melayu masih yakin lagi kepada UMNO.

Perjuangan segelintir orang Melayu seolah-olah tertumpu kepada mempertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub di dalam perlembagaan negara. Tidakkah mereka terfikir, hak dan keistimewaan itu sebenarnya adalah satu agenda untuk mencucuk hidung orang Melayu?

Mungkin fasa di dalam perlembagaan itu nampak begitu manis, tetapi bukankah manis itu kalau keterlaluan boleh membawa penyakit yang kronik?

Janganlah terus dengan budaya Pak Kadok. Janganlah asyik menang sorak sahaja. Dari segi politik, hari ini orang Melayu sudah mempunyai alternatif yang kukuh. Tibalah masanya untuk berubah.