Ahli Parlimen Machang yang juga Penasihat Strategi Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kepada Kickdefella bahawa notis untuk hadir ke mahkamah telah diserahkan kepada Dato’ Seri Anwar. 

Menurut Saifuddin Nasution Ismail, notis tersebut adalah berhubung tuduhan liwat ke atas Anwar. Notis itu mengkehendaki Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat tersebut untuk hadir pada jam 10 pagi di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Pada 28 Jun yang lalu, Bekas Pembantu Khas Anwar, Shaiful Bukhari Azlan telah membuat laporan polis dengan mendakwa diliwat oleh Dato’ Seri Anwar. Bagaimanapun, pada minggu lepas, sebuah laporan rawatan pesakit luar milik Hospital Pusrawi telah tersebar kepada umum. Berdasarkan laporan itu, Saiful telah pergi ke hospital berkenaan dengan mengadu sakit ketika mahu membuang air besar, beberapa jam sebelum dia membuat laporan polis.

Bagaimanapun pegawai perubatan yang membuat pemeriksaan itu pada awalnya tidak dimaklumkan oleh Saiful bahawa dia hadir untuk membuat pemeriksaan kerana di liwat.

Menurut beberapa pakar perubatan, tindakan Saiful tidak memaklumkan bahawa dia hadir untuk pemeriksaan kerana diliwat menyebabkan pemeriksaan yang dibuat oleh doktor pada dubur Saiful boleh menggangu sebarang bukti yang ada.

Saiful dikatakan hanya memberitahu pegawai perubatan tersebut setelah pemeriksaan sedang dijalankan. Para pakar perubatan bersependapat jika Saiful memberitahu dari awal kedatangannya untuk pemeriksaan kerana diliwat, sudah pasti tiada pemeriksaan dilakukan dan Saiful akan diarahkan supaya terus ke Hospital Kerajaan.

Tindakan Saiful ini menambah kesangsian terhadap kredibeliti dakwaan Saiful. Saiful juga dikatakan mendakwa kepada pihak polis bahawa dia telah diliwat lebih dari sekali didalam jangkamasa lebih sebulan. Yang menghairankan ialah mengapa Saiful menanti hingga 28 Jun sebelum membuat laporan polis. Saiful juga lebih mengutamakan untuk bertemu dan mengadu kepada Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak sebelum membuat pemeriksaan perubatan dan laporan polis.

Saifuddin Nasution berpendapat Anwar akan berdepan dengan dua kemungkinan apabila hadir di mahkamah esok. Pertama ialah Anwar akan didakwa dan dinafikan ikat jamin atau keduanya ialah Anwar akan didakwa tetapi dibenarkan ikat jamin.

Sementara itu Anwar telah mengumumkan akan bertanding di Kerusi Parlimen P44 Permatang Pauh yang dikosongkan oleh Wan Azizah Wan Ismail, bekas Ketua Pembangkang.

“Kita bersedia dengan segala kemungkinan untuk tidak menafikan hak Anwar bertanding di dalam Pilihanraya Kecil Permatang Pauh,” kata Saifuddin. Suruhanjaya Pilihanraya mengumumkan hari ini, 16 Ogos sebagai tarikh penamaan calon dan jika ada pertandingan, pilihanraya akan diadakan pada 26 Ogos 2008.

“Pihak BN akan gunakan pendakwaan ke atas Anwar sebagai alasan untuk tidak melayakkan Anwar bertanding,” ujar Saifuddin.

“BN akan berusaha memaksa SPR menolak borang pencalonan Anwar pada hari penamaan calon,” tambahnya.

Adalah diramalkan pihak media media arus perdana juga akan dikerah untuk menyerang Anwar dengan pelbagai fakta yang kononnya akan ditimbulkan di mahkamah yang membuktikan Anwar bersalah. Serangan ini akan bermula menjelang hari penamaan calon dan jika Anwar dibenarkan bertanding, serangan akan memuncak sewaktu kempen pilihanraya.

If you have a reason to disagree with the manner the country is heading, then you have a cause