Jika Dan Brown terkenal dengan Da Vinci Code, satu-satu legasi Malaysia dibawah pemerintahan Abdullah adalah jauh lebih hebat dari novel itu. Abdullah bangkit dari keruntuhan PRU12 dengan satu agenda pasca pilihanraya untuk mematikan semua yang dianggap liabiliti kepada masa depan politiknya. Dengan itu, Abdullah menghasilkan Dah Main Belakang Kot.

Premis asas Dah Main Belakang Kot ialah bagaimana untuk Abdullah meneutralkan,

1. Najib Tun Razak yang mengancam kedudukannya di dalam UMNO.
2. Memukat Anwar Ibrahim dengan meneutralkan Najib Razak dan musuh-musuh Abdullah iaitu Ghani Patail dan Musa Hassan.
3. Menghapuskan perpaduan kaum yang sudah menolak politik perkauman.

Lakaran premis ini dibuat di Jalan Bellamy dengan kerjasama jentera dari Rembau dan bekas Ketua Bahagian UMNO dari Kedah. Ini berdasarkan pengalaman bekas Ketua Bahagian tersebut.

Yang manisnya, Najib Razak pernah bertemu dengan Ketua Bahagian ini untuk memohon sokongan tetapi bekas Ketua Bahagian ini pernah bertanya, “Apa yang saya dapat dari sokongan ini?” Najib termenung dan berjanji akan memikirkan sesuatu.

Selepas PRU12, bekas Ketua Bahagian ini bertemu Abdullah dan menyerunya supaya berundur. Abdullah sebaliknya berhujah selama 90 minit tanpa terlelap mempertahankan polisinya dan mengapa dia harus kekal sebagai Presiden UMNO. Di penghujung 90 minit itu, Abdullah mendedahkan kepada bekas Ketua Bahagian tentang satu insiden yang akan berlaku pada Ogos 2008. Bekas Ketua Bahagian yang tamak ini akhirnya menyedari dia akan bertambah-tambah senang jika dia menunggang Abdullah berbanding dengan Najib lalu, dia mencadangkan supaya PAS ditonggang untuk tujuan ini supaya tuduhan memecahbelahkan Malaysia kelak dihumban pada PAS. Abdullah tersenyum mendengar cadangan itu lalu bekas Ketua Bahagian itu berkata Dah Main Belakang Kot? Dan mereka pun gelak sekuat-kuatnya mengenangkan apa yang akan berlaku.

Bagi mengangkat premis ini, Abdullah menggerakkan plotnya dengan mengumpan PAS didalam Muqabalah menerusi perjumpaan kedua di Parlimen dalam satu sessi orgi diluar aturan tabii yang dirahsiakan dari pengetahuan pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO.

Pada waktu yang sama bekas Ketua Bahagian itu telah membocorkan kepada seorang broker politik Pakatan Rakyat bahawa Anwar Ibrahim akan didakwa pada Ogos 2008. Pendedahan ini dibuat tanpa pengetahuan ana-anta tetapi diatur dengan rapi supaya ia akan sampai juga pada ana-anta sebelum pertemuan seterusnya. Jelas sekarang, tujuan bekas Ketua Bahagian berbuat demikian adalah bagi meyakinkan ana-anta bahawa Pakatan Rakyat akan tumbang kerana Anwar Ibrahim akan kembali ke penjara. Ana-anta yang telah diketahui umum begitu tidak berminat dengan Anwar Ibrahim tentu lebih yakin bahawa PAS perlu tinggalkan Pakatan sebelum Pakatan tumbang.

Maka apabila pertemuan seterusnya berlatarbelakangkan senario beberapa pengakuan bersumpah yang melontarkan pelbagai dakwaan terhadap Najib Razak, Abdullah menggunakan kesempatan itu menyakinkan ana-anta bahawa dia perlukan sokongan padu orang-orang Melayu untuk membersihkan kerajaan daripada segala kotoran.

Abdullah merayu sokongan ana-anta demi Melayu dan demi Islam supaya bersamanya untuk memberikannya kekuatan untuk bertindak. Umpan ini nampaknya semakin mengena sehinggalah ia terbocor kepada media dan sehinggalah Mursyidul Am PAS terhidu sesuatu yang tidak kena.

Sebenarnya Abdullah merancang untuk membunuh Najib Razak dan menutralkan Anwar Ibrahim dengan menggunakan PAS. Tetapi PAS tidak akan main belakang. PAS bukan parti main belakang. Yang main pintu belakang hanyalah ana-anta. Yang kini sudah secara terbuka mengaku tidak mempercayai Anwar. Yang sehingga kini belum memohon maaf secara terbuka setelah di bangunan Parlimen menafikan ada perjumpaan diantara UMNO dan PAS.

Apakah Abdullah tahu bahawa Najib Razak sedang merancang sesuatu untuk mematikan Anwar Ibrahim, setelah Abdullah sendiri memberi talian hayat kepada Anwar selepas pilihanraya 2004? Lalu Abdullah bertindak bijak (sesuatu yang tidak dimilikinya) dengan menangguk di air yang dikeruhkan dengan pelbagai pendedahan Anwar dengan Najib?

Dan bagi menyakinkan rakan ana-anta bahawa mereka tidak menikam belakang Anwar Ibrahim, Abdullah lalu berjanji bahawa selepas kerjasama itu diikat, Abdullah akan menyingkirkan Najib Razak dan akan menggunakan BPR untuk mendakwa Ghani Patail dan Musa Hassan.

Dengan tersingkirnya Najib Razak dan terpecatnya Ghani Patail dam Musa Hassan, tentu sekali Anwar akan kehabisan peluru.

Tetapi mengapa Abdullah menggunakan PAS dan mengapa Abdullah tidak menggunakan PKR iaitu kenderaan politik Anwar sendiri? Jawapannya kerana ada niat jahat Abdullah untuk turut menghapuskan PAS.

Perpecahan bukan ancaman bagi Abdullah. Dalam pilihanraya 1999, Melayu juga berpecah seperti PRU 12 baru-baru ini, tetapi pada tahun 1999, orang-orang bukan Melayu dan bukan Islam, majoritinya berdiri teguh menyokong kepimpinan Barisan Nasional yang diterajui oleh Tun Dr. Mahathir.

Bagaimanapun didalam PRU 12, pengundi bukan Melayu dan bukan Islam di Semenanjung Malaysia telah majoritinya menolak Barisan Nasional. Apa yang merisaukan Abdullah dan mengapa kali ini Abdullah melihat PAS menjadi ancaman ialah kerana pengundi-pengundi bukan Melayu dan bukan Islam telah mula menolak dakyah UMNO dan BN tentang PAS. PAS kini menikmati sokongan bukan sahaja sebahagian orang Melayu tetapi juga orang-orang bukan Melayu, sesuatu yang tidak pernah dinikmati oleh UMNO tanpa Barisan Nasional.

PAS menyertai PRU12 tanpa kerjasama dengan DAP. Tetapi PAS terus menikmati kemenangan di kerusi-kerusi Parlimen yang penentunya ialah pengundi bukan Melayu. Selepas PRU 12, PAS dan DAP membuktikan mimpi ngeri UMNO dan Abdullah bahawa mereka boleh saling hormat menghormati dan menolak politik ke tepi demi melihat negeri-negeri yang BN tumpas ditadbir dengan baik.

Menerusi polisi-polisi kontroversi negeri-negeri Pakatan Rakyat, orang-orang bukan Melayu terbangkit dari segala fitnah UMNO dan BN dan memahami bahawa Islam yang sebenar-benarnya, Islam yang diperjuangkan oleh PAS adalah bukan seperti yang mereka sangkakan sebelum ini. Mereka mula menghormati perjuangan Islam kerana orang-orang bukan Melayu kini sedar Islam sebenar yang diperjuangkan PAS penuh dengan keindahan dan penghormatan yang turut mempertahankan hak orang-orang bukan Islam sebagaimana mereka mempertahankan hak orang-orang Islam.

Orang-orang PAS nampak bengis dan fanatik mempertahankan ajaran Islam tetapi pada waktu yang sama, PAS juga sebenarnya bengis dan fanatik didalam mempertahankan keadilan buat semua dan kebebasan individu bukan Islam mengamalkan ajaran agama dan kebudayaan mereka.

Oleh yang demikian, Abdullah berusaha mengembalikan pandangan kuno tentang PAS dengan mengikat PAS dengan politik cetek perkauman. Abdullah menggunakan istilah Melayu dan Islam sebagai asas Muqabalah sedangkan dibelakangnya, Abdullah meracuni ana-anta bahawa Muqabalah ini adalah bagi menghapuskan pemimpin dusta seperti Najib dan pegawai kerajaan yang menyeleweng seperti Ghani Patail dan Musa Hassan. Mungkin juga Abdullah berjanji untuk menyelamatkan Anwar dari konspirasi oleh Najib.

Abdullah tahu, ini akan menggugat perpaduan di dalam PAS dan jika berlandaskan sejarah, Abdullah masih ingat bagaimana PAS berpecah kepada Bebas Bersatu dan kemudiannya kepada Hamin dan Berjasa hasil permainan UMNO. Abdullah tahu sejarah kerapkali mengulangi diri mereka.

Lantas, selepas dia membunuh Najib dan meneutralkan Anwar, Abdullah akan melepaskan ikatan UMNO dengan PAS lantaran PAS akan terkapai-kapai mencari tapak semula sedangkan bagi pengundi yang mengundi PAS pada PRU12 akan terus ingat bagaimana PAS mengkhianati mereka menerusi permainan pintu belakang.

Pemilihan masa bagi Abdullah juga penting. Pendedahannya tentang isu Muqabalah ini segaja dibuat diwaktu ekonomi negara semakin tenat dan sewaktu kes tuduhan liwat terhadap Anwar semakin menimbulkan keraguan. Dibelakang tabir pula, Abdullah sedang menggerakkan jenteranya untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan di Perak sebeluh mesyuarat bahagian-bahagian UMNO bermula.

Isu Muqabalah diteruskan oleh Abdullah walaupun sudah dimatikan oleh Nik Aziz, kerana didalam usaha menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan di Perak, Abdullah perlu menghilangkan kepercayaan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dari Pakatan Rakyat terhadap keutuhan Pakatan Rakyat.

Mereka ditaburkan dengan fitnah bahawa PAS akan bekerjasama dengan Barisan Nasional lantaran segelintir ahli-ahli DUN dari DAP dan PKR juga akan mula berfikir apakah ada masa depan buat mereka di dalam Pakatan Rakyat.

Maka perancangan Abdullah ialah, menjelang pemilihan bahagian UMNO, berlakulah aktiviti lompat dan seterusnya menumbangkan kerajaan di Selangor dan Perak walaupun PAS tetap bersama Pakatan.

Ahli-ahli UMNO perlu bertanya kepada diri mereka, apakah mereka sedar permainan Abdullah ini yang hanya bertujuan untuk mengukuhkan dirinya sendiri dan bukan UMNO.

Akar umbi UMNO rata-rata tidak berpuas hati dengan Abdullah dan mahu dia berundur dengan segera. Tetapi Abdullah dipertahankan oleh elit-elit UMNO yang terdiri daripada ketua-ketua Bahagian dan ketua-ketua Pemuda yang kebanyakannya adalah pemaju, kontraktor, pembekal dan ahli-ahli perniagaan yang bersandarkan kepada kontrak dari Kerajaan.

Kepada akar umbi UMNO, hapuskan golongan elit UMNO ini, dan jangan risau apa yang terjadi kepada UMNO selepas itu kerana seperti kata Nik Aziz, PAS bersedia menghulurkan bantuan dengan cadangan supaya dibubarkan UMNO dan PAS akan bersatu dengan ahli-ahli UMNO di dalam satu Parti Baru yang berlandaskan Islam sebenar-benarnya.

Menerusi gabungan itu, Pakatan Rakyat akan menjadi lebih kuat untuk menubuhkan sebuah keadilan buat semua kaum dan penganut agama-agama lain.

Inilah anjakan paradigma buat politik Malaysia dan ini tidak akan berlaku tanpa penyatuan rakyat Malaysia dari yang melampaui batasan warna kulit, bahasa dan kepercayaan.