Tuan Speaker Sdr. Haris Ibrahim,

Saya ingin mengambil peluang ini untuk memperkatakan berhubung kenyataan Tuan Speaker dibawah tajuk Half-truth hadhari, froggie PAS-tors and bamboozled bee-enners.

Tahukah ahli-ahli UMNO apakah agenda sulit Muqabalah yang dibincangkan di antara Abdullah Ahmad Badawi dan rakan Ana-Anta yang diakui kini lebih UMNO dari UMNO walaupun sangka Abdullah Ana-Anta itu mewakili PAS?

Tahukah Najib Razak apakah agenda sulit Muqabalah yang Najib beria-beria cakapkan perlu diteruskan dan diperluaskan skopnya?

Tahukah kita semua mengapa Abdullah akan menolak saranan Tuan Guru Nik Abdul Aziz supaya dibubarkan UMNO jika benar UMNO mahu mengutamakan Melayu dan Islam?

Semalam terbongkar sudah segala-galanya. Parlimen Rakyat menerusi speakernya Sdr. Haris Ibrahim sudah mendedahkan agenda sulit yang dibincangkan oleh Abdullah kepada Ana-Anta.

Menurut Parlimen Rakyat, agenda sulit Muqabalah ialah Abdullah mahu kerjasama dan sokongan PAS bagi mengukuhkan kedudukannya supaya dia dapat mengambil tindakan menyingkirkan Najib Razak daripada tampuk kuasa.

Abdullah juga mahu bantuan PAS untuk memperkukuhkan kedudukannya supaya dia dapat memecat Abdul Ghani Patail, Peguam Negara dan Musa Hassan, Ketua Polis Negara.

Hari ini, saya ingin membahaskan kenyataan Speaker di Parlimen Rakyat.

Tuan Speaker,

Saya percaya bahawa kenyataan speaker di Parlimen Rakyat semalam adalah benar dan walaupun menjadi tanggungjawab Tuan Speaker untuk tidak mendedahkan sumber tersebut, saya tetap yakin seratus peratus kebenarannya.

Tuan Speaker,

Bagaimanapun, saya terpanggil untuk berhujah di atas beberapa perkara yang saya yakin menjadi tanggungjawab saya untuk mengupasnya.

1. Apakah Abdullah mempunyai maklumat salah laku ketiga-tiga yang di sebut namanya.

Abdullah hendaklah memiliki maklumat atau bukti tentang salah laku Timbalannya Najib Razak, Ghani Patail dan Musa Hassan contohnya penglibatan Najib dengan kes pembunuhan Altantunya, penyalahgunaan Kuasa Ghani Patail dan rasuah serta salah laku Musa Hassan, jika benar-benar tindakannya ini adalah untuk kepentingan negara dan bukan kepentingan peribadi.

• Jika Abdullah mempunyai bukti yang kukuh maka dia seharusnya menggunakan kuasa eksekutif yang ada padanya dan juga memberi nasihat kepada Yang DiPertuan Agong agar satu tindakan penyiasatan yang rapi yang turut memberi perlindungan tahap tertinggi kepada saksi dan pemberi maklumat agar tindakan yang sah dapat diambil keatas ketiga-tiga mereka ini.

• Jika Abdullah memiliki bukti yang cukup, mengapa beliau perlu meminta bantuan dan kerjasama dari parti politik seperti PAS sahaja. Jika Abdullah memerlukan sokongan Parlimen untuk bertindak, maka dia seharusnya bermuqabalah juga dengan semua parti politik lain dan bukan dengan PAS sahaja.

2. Tuan Speaker, apa yang merisaukan saya bahawa Abdullah mengambil kesempatan diatas khabar-khabar angin dan juga diatas tuduhan-tuduhan yang bertempiaran keatas ketiga-tiga nama tersebut untuk memperkukuhkan kedudukannya ditampuk pemerintahan negara dan bukan untuk kebaikan Malaysia seperti yang kita sangka.

• Tindakan Abdullah menjalankan aktiviti muqabalah secara diluar aturan tabii dengan Ana-Anta seolah-olah ada muslihat oleh Abdullah sendiri.
• Melibatkan PAS sahaja untuk sesuatu yang penuh dengan kepentingan negara menambah jelas bahawa ianya bersifat peribadi.

3. Adalah menjadi keraguan bagi saya tindakan Abdullah ini sebenar-benarnya jujur. Tuan Speaker, izinkan saya meluahkan keraguan saya kerana pada pandangan saya,

• Penyingkiran Najib, Ghani Patail dan Musa Hassan hanyalah satu umpan yang Abdullah buang untuk memerangkap PAS supaya bekerjasama dengannya.
• Apabila PAS terjerat dan bekerjasama dengan Abdullah (Bukan UMNO), kemungkinan benar Abdullah akan bertindak keatas ketiga-tiga nama ini tetapi ianya hanyalah bersifat untuk mengukuhkan kedudukannya sahaja.

4. Oleh yang demikian, saya menyarankan jika benar Abdullah mahu bertindak ke atas ketiga-tiga nama ini disebabkan bukti yang cukup, maka beliau tidak perlu risau kerana seluruh rakyat Malaysia akan menyokong tindakannya.

5. Tuan Speaker Parlimen Rakyat, saya juga ingin menarik perhatian Parlimen Rakyat terhadap dakwaan yang dibuat oleh Abdullah pada akhir April 2008 kepada seorang Tokoh Politik dan Perniagaan Negara yang telah lama menyepikan diri. Adalah dikatakan bahawa pada akhir April itu, Abdullah telah berkata bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan didakwa di Mahkamah pada bulan Ogos 2008.

6. Jika benar dakwaan ini, maka saya ingin menarik perhatian Parlimen Rakyat terhadap beberapa kemusykilan,

• Bagaimana Abdullah boleh tahu Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan didakwa pada bulan Ogos 2008?
• Jika dakwaan yang dikatakan ini ada kaitan dengan tuduhan liwat, maka bagaimana dia boleh tahu 2 bulan sebelum mangsa yang mendakwa dirinya diliwat membuat laporan polis.
• Adakah benar kemungkinan tuduhan liwat ini dirancang oleh Najib Razak dan maklumat tentangnya telah dipintas oleh Abdullah.
• Atau Abdullah sendiri dibelakang sebuah konspirasi yang berhubung tuduhan liwat ini dan Abdullah melakukkannya menerusi agen-agennya dengan satu strategi supaya Najib Razak dilihat berada dibelakang konspirasi ini.

7. Tuan Speaker, saya mohon Parlimen Rakyat yang dibawah telunjuk Tuan Speaker supaya menghalusi kemusykilan ini kerana ianya adalah bersifat kepentingan awam dan membabitkan masa depan negara.

8. Sekian, Terima Kasih.

-Yang Berblog Al Hadee Bangun Berhujah –

Tuan Speaker,

Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada YB Sheih kerana membangkitkan soal ini di dalam parlimen rakyat untuk dibahaskan. Izinkan saya membahaskan perkara ini di dalam 3 hujah.

Pertama sekali, saya ingin merujuk kepada kenyataan-kenyataan balas yang boleh didapati dari laman blog beliau. Diantaranya menyebut, dengan izin ‘..mana yg kita sepatut lebih percaya, ulama2 PAS yg bgn smyg tahhajjud setiap malam,berzikir kepada Allah atau dgn khabar angin yg disebar Haris Ibrahim peguam liberal yg membela org murtad?..”

Saya menyebutkan ini sebagai satu panduan dan pengajaran bagi YB Shaikh sendiri bahawa sesuatu itu hendaklah dinilai dari merit sesuatu pendapat atau hujah dan bukannya dari segi label dan tuduhan liar yang tidak berasas.

Amat malang sekali Tuan Speaker, di negara kita ini, majoriti akan menghukum berdasarkan kepada sentimen semata-mata. Apabila sesuatu figur ataupun ikon yang disokong menyebut tentang sesuatu, ianya akan disokong 100% semata-mata kerana ikon ataupun personaliti itu dianggap ‘keramat’. Apabila seorang yang dianggap sebagai ‘Tok Guru’, maka segala-galanya yang keluar dari mulut beliau itu adalah betul.

Apabila ini berlaku, maka hujah yang bertentangan akan ditolak mentah-mentah tanpa diberikan pertimbangan sewajarnya dengan alasan bahawa ianya keluar dari seseorang yang tidak di sokong ataupun keluar dari seseorang yang dianggap sebagai musuh.

Saya tidak pernah berjumpa mana-mana agama yang mengajarkan kesetiaan secara melulu. Yang ada adalah mereka-mereka yang berselindung di sebalik agama dan mempergunakan agama itu untuk kepentingan politik dan keserakahan nafsu untuk kuasa dan pangkat mereka ini sahaja.

Kita harus belajar dari sejarah, Tuan Speaker. Taktik begini bukan sahaja terhad kepada sesuatu agama sahaja. Agama Kristian juga telah mengalami fasa yang sama apabila di negara-negara barat, pada satu ketika mereka telah mengamalkan ikutan mutlak kepada para paderi dan juga gereja. Hanya mereka yang tertentu sahaja boleh mambaca dan mengkaji kitab injil. Dan orang ramai dipaksa untuk mengikut bulat-bulat tafsiran kitab injil tersebut dan sesiapa yang cuba untuk memberikan pendapat berlainan akan dianggap sebagai ‘murtad’ dan akan digantung.

Akhirnya rakyat memberontak. Memberontak kerana tidak tahan dengan kezaliman yang dilakukan. Maka mereka telah keluar dari amalan ikutan mutlak ini kepada amalan liberal dan progresif. Dan hari ini kita menyaksikan bahawa mereka telah menjadi kuasa-kuasa dunia. Kuasa bukan sahaja dari segi kenteteraan, malah dari segi ekonomi, pendidikan dan juga kemajuan sains dan teknologi.

Maka dengan ini saya ingin bertanya kepada YB ahli-ahli parlimen rakyat, adakah kita memilih untuk berada pada zaman gelap seperti di negara barat dengan amalan kesetiaan mutlak dan melulu ataupun kita memilih untuk menjadi progresif dan terbuka?

Saya menyebutkan sebegini kerana amalan ini begitu berleluasa berlaku di dalam parti yang dimana YB Shaikh adalah ahlinya.

Jadi saya berharap agar perkara menyokong membabi buta ini jika dapat dikurangkan jikapun ianya tidak dapat dihapuskan terus menerus, untuk kita memupuk amalan demokrasi yang sihat di negara yang tercinta ini.

Tuan Speaker,

Hujah saya yang ke dua adalah berkenaan dengan amalan ritual yang menjadi keutamaan dan menjadi kayu ukur penilaian. Baru-baru ini salah seorang pemimpian ikutan mutlak telah mengeluarkan kenyataan bahawa hanya yang bersembahyang mengikut amalan Sunni sahaja yang akan dipertimbangkan untuk dinaikkan pangkat di dalam sektor awam di sebuah kerajaan negeri.

Malah, kenyataan balas untuk usul dari YB Sheih juga berbentuk penilaian dari sudut amalan. Seperti yang telah saya sebutkan tadi, sebuah kenyataan balas menyebut ‘..ulama2 PAS yg bgn smyg tahhajjud setiap malam,berzikir kepada Allah..’

Nah, sudah jelas bahawa amalan berbentuk ritual ini tidak akan melindungi sesiapa pun dari kesilapan dan kesalahan. Ianya tidak akan melindungi sesiapa pun dari di tipu dan menipu. Sebagai contohnya, seorang dari pemimpin ikutan mutlak pernah menyebut bahawa tidak ada rundingan tentang perkongsian kuasa dengan UMNO dan timbalan pemimpin mutlak ini pula mengancam untuk menyaman sesiapa yang menyebarkan tentang cerita perundingan tersebut.

Bukankah pemimpin2 ikutan mutlak ini cukup 5 waktu sembahyang nya? BUkankah pemimpin ini juga bersembahyang tahhajud kononnya mermunajat kepada Allah?

Tiba-tiba setelah didesak, barulah pemimpin ikutan mutlak ini mengakui bahawa mereka memang ada membuat pertemuan dan perbincangan dengan UMNO. Perbincangan ini bukanlah sekali tetapi 3 kali! Dan ini bukanlah perbincangan biasa tetapi perbincangan tentang kuasa iaitu pembentukan kerajaan bersama di negeri Selangor.

Ini jelas menunjukkan bahawa pemimpin ikutan mutlak ini sudah berbohong selama ini. Ini menunjukkan bahawa timbalan pemimpin ikutan mutlak ini juga seorang pembohong.

Jadi di manakah Solat 5 waktu yang dilakukan itu berjaya menghalang mereka ini dari berbohong? DImanakah sembhayang tahajud dan munajat itu dapat menahan mereka dari melakukan pembohongan dan penipuan?

Peristiwa ini jelas menunjukkan kepada kita, Tuan Speaker bahawa amalan ritual tidak sesuai dan tidak boleh sama sekali digunakan untuk menjadi kayu pengukur kredibiliti seseorang itu.

Tuan Speaker,

Hujah saya yang ke tiga adalah berkenaan dengan niat dan perancangan Pak Lah untuk kekal berkuasa.

Saya ingin merujuk kenyataan YB Sheih bahawa ‘Atau Abdullah sendiri dibelakang sebuah konspirasi yang berhubung tuduhan liwat ini dan Abdullah melakukkannya menerusi agen-agennya dengan satu strategi supaya Najib Razak dilihat berada dibelakang konspirasi ini.’

Saya rasa ini adalah jelas sekali. Seperti pepatah Melayu menyebut ’sudah terang lagi bersuluh’.

Secara peribadi, Tuan Speaker, saya berpendapat bahawa strategi jangka masa panjang Dato Seri Abdullah adalah sebegini;

Fasa pertama: 1. Lemahkan atau hapuskan pengaruh Dato Seri Anwar dan juga Dato Seri Najib. 2. Menjinakkan PAS supaya PAS tidak menyerang kepimpinan beliau. Untuk melakukan ini, beliau telah mengambil pendekatan-pendekatan berikut.

Pendekatan 1: Bebankan DSAI dengan tuduhan liwat dan juga renggangkan ikatan PAS dengan DSAI. Dilakukan dengan media masa dan juga perundingan cara belakang antara PAS dan UMNO. Lihat sahaja kenyataan beberapa pemimpin PAS yang seolah-olah percaya dengan tuduhan terhadap DSAI. Pemimpin yang sama juga yang berunding dengan UMNO untuk mengenepikan PKR/DSAI.

Pendekatan 2: Menjinakkan PAS. Buka pintu rundingan tentang perkongsian kuasa antara PAS dan UMNO seluas-luasnya. Dengan cara ini pemimpin PAS akan kurang menyerang kepimpinan Dato Abdullah secara langsung. Pemimpian PAS masih boleh mengkritik UMNO dan juga pemimpian UMNO yang lain tapi serangan langsung (direct) terhadap Dato Abdullah mesti dikurangkan.

Apabila pintu rundingan dibuka, masakan pemimpin PAS yang berunding dengan Dato Seri Abdullah akan menyerang beliau.? Tidak logik jika berunding tetapi masih menyerang secara langsung. Maka dengan cara ini serangan langsung dari PAS terhadap kepimpinan beliau akan dikurangkan. Lihatlah banyak serangan PAS kini terarah kepada Dato Najib dan juga pemimpin yang lain.

Pendekatan 3: Menaikkan pengaruh Dato Seri Abdullah yang merosot dikalangan ahli UMNI dengan cara menonjolkan beliau sebagai orang yang membuka pintu dengan PAS untuk rundingan bagi penyatuan Melayu.

Pendekatan 4: Membuatkan agar fitnah terhadap DSAI seolah-olah didalangi oleh Dato Najib. Dengan cara ini, pengiku DSAI akan marah pada Dato Najib dan menumpukan serangan pada beliau.

Pendekatan 5: Bebankan Dato Najib dengan tuduhan-tuduhan membunuh. Dengan cara ini, Dato Najib akan sibuk menangkis serangan-serangan dari tuduhan-tuduhan itu dan juga serangan dari pengikut DSAI dalam UMNO. Padahal sudah jelas didalam Akuan Bersumpah RPK menyatakan bahawa yang hadir pada malam itu bukanlah Najib tapi Datin Seri Rosmah.

Tuan Speaker,

Fasa pertama ini mempunyai matlamat-matlamat tertentu dan sebahagiannya sudah dicapai dan ada juga hampir dicapai.

Matlamat-matlamat;

1. Gagalkan rancangan PR untuk mengambil alih kerajaan persekutuan
2. Lemahkan pengaruh pemimpin UMNO yang boleh mengancam kedudukan Dato Seri Abdullah
3. Menaikkan saham untuk Dato Seri Abdullah dikalangan ahli-ahli UMNO bahawa Dato Seri Abdullah cuba menyatukan orang Melayu dengan berunding dengan PAS. Dalam erti kata lain, PAS digunakan untuk memperkuatkan pengaruh Dato Seri Abdullah di kalangan ahli-ahli UMNO.
4. Melemahkan kesatuan Pakatan Rakyat dan wujudkan syak wasangka di kalangan pemimpin2 PR.

Tuan Speaker,

Kejayaan Fasa pertama ini dapat diukur dalam beberapa bulan lagi. Beliau akan dikira berjaya jika; 1. Dato Seri Anwar tidak dapat membentuk kerajaan baru dan 2. Dato Seri Abdullah kekal sebagai Presiden UMNO pada pemilihan UMNO yang akan datang.

Tuan Speaker,

Fasa yang kedua pula adalah mudah saja. Ada 2 matlamat utama yang penting Tuan Speaker. Yang pertama; Pemusnahan PAS dimana PAS akan menjadi parti yang berpecah dan lemah. Matlamat yang kedua adalah untuk mengangkat KJ sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru.

Bagaimana PAS akan dipecahkan secara dalaman dan secara luaran saya tidak akan bincangkan disini. Tetapi cukuplah ingin saya katakan bahawa Dato Nik Aziz sudah uzur dan mungkin tidak akan berada lama di tapuk kepimpinan PAS. Apabila ini berlaku kita akan mengucapkan selamat tinggal kepada PAS dan penyokong-penyokong PAS akan terpaksa menunggu 10 tahun sekurang-kurangnya, itupun jika ada pemimpin yang sebijak Dato Nik Aziz tiba2 muncul, untuk parti itu pulih.

Tuan Speaker,

Demi kepentingan awam, saya ingin mengemukakan beberapa usul penting yang dikira amat mustahak bukan sahaja demi kepentingan negara untuk masa kini tetapi juga kepentingan generasi kita di masa hadapan,

Usul pertama;

Menyokong pembentukan sebuah negara sekular demi untuk kepentingan agama Islam yang telah banyak dipergunakan oleh pemimpin-pemimpin berkepentingan. Ini untuk mengurangkan muncul-munculnya pemimpian ‘ikutan mutlak’ yang akan membenjatkan keintelektualan dan menyebabkan negara kita berada pada zaman gelap sebagaimana negara barat suatu ketika dulu. Ini telah saya bahaskan di dalah hujah yang pertama.

Usul ke dua;

Mengecam sebarang pengukuran kredibiliti berdasarkan amalan ritual. Ini telah saya bahaskan di dalah hujah saya yang kedua

Usul ke tiga

Mengecam sebarang usaha kearah perpaduan berdasarkan bangsa dan agama. Saya usulkan agar ianya diganti dengan usaha kepada perpaduan Bangsa Malaysia. Harus ditegaskan perpaduan Bangsa Malaysia ini tidak boleh di buat ala Indonesia pada era Suharto dimana perbezaan budaya dan adat dilihat sebagai ancaman. Tetapi perpaduan Bangsa Malaysia haruslah berteraskan premis bahawa aspek perbezaan adat dan budaya adalah KEKUATAN kepada Bangsa Malaysia.

Usul ke empat,

Pembentukan suruhanjaya bebas yang berkuasa untuk menyiasat kes-kes berprofil tinggi. Saya usulkan untuk menjamin kebebasan suruhanjaya tersebut, ianya hendaklah dilantik dan dipersetujui oleh Majlis Raja-raja. Nasihat Perdana Menteri pula boleh dipertimbangkan dan hendaklah boleh ditolak. Nasihat dari Ketua Pembangkang mengenai ahli suruhanjaya juga hendaklah dikemukakan kepada Majlis Raja-raja untuk dipertimbangkan.

Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan.

-Tamat Hujah YB Al Hadee-