“Sewajarnyalah semua rakyat bersatu dan tidak harus ada ungkit mengungkit mengenai hak dan keistimewaan orang Melayu” Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Mohammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail. 

“Ia adalah quid pro quo sebagai balasan kepada beri paksa kerakyatan kepada 2.7 juta kaum lain yang datang ke Persekutuan Tanah Melayu,” 

Sudah tiba masanya kita memandang serius tingkah laku kita yang kuat melenting tanpa melihat konteks dan sejarah peribadi seseorang dan medium titah dilafazkan. 

Adakah kita serupa pemuda UMNO yang menganggungkan kerisnya dan laungan retorik? 

DYMM Tengku Mohammad Faris Petra tidak perlu dipertahankan kerana kekuatan Tuanku adalah seluruh rakyatnya yang bersedia untuk mempertahankan baginda, termasuk Kickdefella. 

Mustahil titah Tuanku pincang kerana DYMM Tuanku berbicara soal fakta dan soal sejarah. Yang pincang mungkin pemahaman kita dan saluran maklumat disampaikan. 

Keikhlasan Tuanku jelas. Tujuan Tuanku bersuluh dan Nada Tuanku amat menyakinkan. Tuanku bukan boneka yang dijual beli. 

Tenyata Ke Bawah Duli Tuanku kesal dengan kemudaratan yang menimpa orang Melayu yang mana Raja-Raja Melayu adalah simbol keagunggannya, di dalam PRU12. 

Yang jelas lagi bersuluh, ianya adalah kekesalan terhadap bagaimana sebuah Parti seperti UMNO yang selama ini diletakkan amanah besar sebagai pembela nasib Melayu terpaksa diludah oleh sebilangan orang Melayu sendiri. 

UMNO menerusi pemimpin-pemimpin kininya telah meletakkan imej Melayu ke tahap negatif. Memang jelas, sebab nila setitik, rosak susu sebelangga. Dasar Ekonomi Baru yang sepatutnya membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat, di UMNOkan sehingga menimbulkan tidak puas hati di kalangan Rakyat Malaysia yang lainnya. 

Orang Melayu yang berada akan terus dicap sebagai Kroni UMNO kerana budaya yang di UMNOkan ke dalam imej Melayu. Sedang selama 50 tahun UMNO menjadi peneraju utama kerajaan Malaysia dan selama berpuluh tahun Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Pendidikan adalah dari darah daging Melayu, tetapi Melayu rata-rata masih berkecamuk. 

Sekali lagi amaran Tuanku jelas, jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kepada rakyat Malaysia bukan Melayu, jangan kerana marahkan segelintir pemimpin UMNO, semua orang Melayu di pandang hina. Segelintir di dalam UMNO itu telah menjadi nyamuk menghisap darah dan membawa penyakit. Tapi kata orang Melayu dan pesan Tuanku, jangan marahkan nyamuk, kelambu di bakar. 

Kelambu itu adalah orang-orang Melayu. Kalau dibakar kelambu itu, apinya sudah pasti merebak ke segenap bilik. Apabila bilik itu terbakar, mampukah kita menyekatnya dari membakar keseluruh pelusuk rumah. 

Bersopan bila berkata-kata, cakap siang pandang-pandang. Cakap malam dengar-dengar. 

Mungkin Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyatnya boleh mengambil iktibar dari pesanan Tuanku. 

Kepada rakan saya rakyat Malaysia yang bukan Melayu, fahamilah, tidak semua Melayu menyimpan keris. Dan tidak semua yang memiliki keris menghunusnya sebagai lambang supremacy. Fahami sejarah sebelum berkata-kata. Janji kita hendaklah kita kota. Mempertahankan satu sama lain, melampaui batasan warna dan tutur kata adalah tanggungjawab kita Rakyat Malaysia.