“Beginning today, I plan to serialise my screenplays, which I have written since 1994. Some of it has made it to the big screen; some made it to the TV and some, only go as far as my bookrack at home.

It shall be the weekend affair for this blog.

Although I am trying my best to keep it within the original screenplay format, nevertheless, due to html intolerance I have met dead end.

Starting today, I present to my reader, a screenplay called “Fatwa Pujangga” which I had written back in 1997. It is a 10 episodes mini-series. It may take us few months to finish it. Salam.”

 

“A relationship, I think, is like a shark, you know? It has to constantly move forward or it dies. And I think, what we got on our hands is a dead shark…”
– Woody Allen ( 1935 – ),
American Director

1. INT – BALLROOM – MALAM

Kelipan flash mula memancar – mancar. Petikan flash mula berbunyi – bunyi. Perlahan – lahan bunyi tepukan gemuruh kedengaran.

Tumpuan masih pada rostrum kosong.

Seorang gadis melangkah masuk. Bajunya cukup indah dan glamour. “Baju Festival”. Usianya tidak lebih dari DUA PULUH TAHUN. Namun bagi usia semuda itu dia tampak cukup matang. Kejelitaannya simple tetapi banyak dibantu oleh wajahnya yang mempunyai raut penuh inteligen, Itu yang mencantikan dirinya.

SITI AZURA, menghampiri rostrum itu dan berdiri menanti tepukan reda.

KITA MASIH DI SITU, PADA SYOT ITU. TIDAK BERGERAK. STATIK. TIDAK BERFUNGSI.

Airmata mula menitis di pipi Siti Azura atau lepas ini dikenali dengan timangan Azura sahaja. Tepukan semakin reda perlahan – lahan semakin sayup bersama airmata yang menitis dipipi gadis itu. Sehinggalah suasana menjadi betul – betul sunyi, barulah Azura melangkah setapak ke hadapan rostrum dan hampir dengan mikrofon. Dia mengetuk mikrofon sekali dengan tangannya, gementar dan kurang yakin.

Kerlipan flash semakin menjadi – jadi.

AZURA
  Aaaa….

Azura cuba memulihkan ketenangannya.

AZURA
  Saya Siti Azura… saya bukan Zuher… maksud
  saya, saya bukan Zuhairi Haji Mohammed Kamal…. jangan
  beri saya tepukan itu… tepukan itu untuknya.

Azura kembali terdiam. Dia seolah kaku dan lupa apa yang hendak dilafazkannya.

KAMERA BERGERAK PERLAHAN – LAHAN TRACKING MENGHAMPIRINYA. SUASANA MENJADI SUNYI. SEGALA BUNYI SEKITAR FADE UNDER. SENYAP.

Buat seketika tiada kata – kata yang terlafaz oleh Azura. Akhirnya dia buat keputusan untuk bersuara semula.

AZURA
  Zuher sepatutnya berdiri di sini, Zuher sepatutnya
  menerima tepukan ini…..

CUT TO :

2. INT – STUDIO TV/TEMPAT PERSALINAN – SIANG

FLOOR MANAGER
  Abang Zuhairi… 5 minit lagi!!!

ZUHAIRI HAJI MOHAMMED KAMAL duduk di satu sudut. Menghisap rokok. Ashtray disebelahnya sudah penuh dengan puntung rokok. Orangnya tidak tinggi, tidak juga rendah — sederhana tetapi kurus, amat kurus sekali. Rambutnya pendek habis… Dia sakit… di sebalik semangat dan baju bunga – bunga berlengan panjang — dia nampak sakit. Zuher terus melayan rokoknya. Dibeberapa sudut wajahnya, ada kesan luka – luka kecil, luka yang berona dari kesan cukuran setiap pagi.

Seorang lelaki datang menghampirinya. Agak kurus dan tinggi. Namanya ALI CONG, gelaran Cong kerana dia pakar “cong” poker. Ali Cong membawa dua helai blazer untuk Zuher.

ALI CONG
  Zuher… kau pilih yang mana satu…

Zuher memandang Ali Cong, bukan blazer itu. Dalam diam dia mengelengkan kepalanya.

ALI CONG
  Aku tahu kau tak mahu, aku dah bagitahu pun,
  tapi dia orang nak kau pakai…

ZUHER
  Dia orang nak aku balik ?

Keras persoalannya.

ALI CONG
  Okey – okey, aku seatle….

Tak sempat Ali Cong beredar dari situ seorang perempuan datang, dia adalah AP di situ.

ASSISTANT PRODUCER
  Abang Zuhairi, abang pilihlah blazer yang
  mana satu.

Zuher memandang ke arah AP tersebut.

ZUHER
  Apa baju saya tak layak keluar di stesen
  kamu.

Kali ini Zuher tenang bersuara, lembut, very soft spoken tetapi dalam maknanya.

AP itu tidak sempat berkata apa – apa, terlalu terkebel – kebel. Ali Cong sudah beredar pergi. Seolah dia tidak mahu terlibat dengan perang dingin disitu.

ZUHER
  Tell me, bagi tahu saya, kamu mahu saya kerana
  filem saya atau kamu mahu saya buat fesyen show
  untuk kamu…

AP
  Itu baju sponsor bang…

ZUHER
  Itu menjadi masalah saya ke ?

AP itu sekali lagi terkebel – kebel.

Zuher memadamkan api rokoknya dan bangun. Dia menepuk bahu AP itu,

ZUHER
  Let me tell you something, filmaker do not need
  to dress up, their film dress up for them…. Abang
  balik dulu…

Zuher beredar dan AP itu hanya mampu memandang tanpa berani berkata apa – apa lagi.

Ali Cong yang berdiri disatu sudut sudah tidak senang hati. Dia mengelengkan kepalanya kepada AP tersebut. Ali Cong kemudian berjalan mengikuti Zuher.

CUT TO :

3. INT – BALLROOM – MALAM

Azura masih di rostrum, masih cuba berfikir apa yang perlu dicakapkannya. Dia masih kelu.

KAMERA TERUS MENGHAMPIRINYA.

KAMERA BERHENTI.

AZURA
  Zuher… saya diminta bercakap mengenai Zuher
  yang saya kenali… Mungkin anda berfikir saya
  mengenali dia lebih dari anda, tidak…… tidak…
  Mungkin saya lebih rapat dengannya…. tapi saya
  sama seperti anda hanya kenal dia dari luaran
  sahaja…. selainnya disimpan olehnya. Ramai
  yang mengingati dia sebagai seorang yang
  temperamental, ramai yang takuti dia lebih
  dari segani dia, bagi saya, dialah seorang
  gentleman… dan dia… Zuher… dia terlalu
  cantik untuk kita. Disiplinnya, kejujurannya,
  komitmennya menakutkan kita yang hodoh ini.
  Itulah kita dan itulah dia… dia dan Fatwa
  nya sebagai Pujangga.

CUT TO :

4. INT – STUDIO TV – SIANG

Zuher sedang di temuramah oleh pengacara program TV itu.

PENGACARA
  Mengapa Fatwa Pujangga ?

ZUHER
  Ya ?

PENGACARA
  Maksud saya mengapa Fatwa Pujangga ?

ZUHER
  Mengapa Fatwa Pujangga… dalam erti kata
  mengapa tajuknya begitu atau mengapa saya
  pilih Fatwa Pujangga, yang mana satu….

PENGACARA
  Mengapa tajuknya Fatwa Pujangga….

ZUHER
  Dalam… maksudnya dalam…. Dua insan
  bercinta itu saya anggap sebagai pujangga…
  bukan dari segi bahasanya, tapi falsafahnya…

PENGACARA
  …dan mengapa pula Fatwa Pujangga, mengapa
  ia menjadi pilihan Encik Zuher untuk membuat
  comeback ke dalam industri filem tanah air…

Zuher tersenyum….

PENGACARA
  Boleh kita kongsikan bersama ?

Zuher sekali lagi tersenyum, dia mahu menjelaskannya tetapi mengambil pendirian untuk memberikan reaksi dia tidak tahu bagaimana menjelaskannya.

CUT TO :

5. INT –LANDASAN LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA – SIANG

Sebuah pesawat sedang mendarat di landasan tersebut. Tunjukkan aktiviti lain di sekitar landasan berkenaan.

CUT TO :

6. INT – RUANG TAMU BANGLOW MEWAH AYAH ZUHER – SIANG

Zuher di bawa masuk ke dalam banglow tersebut oleh seorang lelaki, lelaki tersebut berpakaian kemas. Namanya ISMAIL, dia adalah setiausaha kepada Ayah Zuher.

Mengiringi Zuher ialah seorang wanita berkulit putih keturunan Amerika. Orangnya tinggi lampai, sederhana dari sudut rupa paras, pakaiannya cukup simple dan tidak banyak solekan. Wanita itu ialah Jane, isteri kepada Zuher.

Zuher pula berambut panjang dan hanya berseluar jeans dan t shirt sahaja. Mereka masing – masing membawa beg pakaian.

Setelah beberapa ketika memerhati sekitaran banglow itu, Zuher akhirnya melangkah kaki masuk ke dalamnya. Sedih dan sayu… itulah scenarionya.

Zuher meletakkan beg pakaian di satu sudut rumah berkenaan. Dia kemudian berdiri memerhati suatu foto besar arwah ayahnya.

ISMAIL
  Zaleha akan tiba tengah malam esok…
  Dia gagal dapatkan penerbangan lebih awal…

Zuher tidak memberi sebarang reaksi kepada kenyataan Ismail. Seketika kemudian dia menoleh ke arah Jane,

ZUHER
  Jane, we can use the room upstairs…
  Mail will show you the way… Mail ….

Mail menganggukkan kepala dan mencapai beg Zuher lalu mengiringi Jane ke tingkat atas banglow berkenaan.

Zuher masih lagi merenung tajam ke arah foto tersebut.

CUT TO :

7.INT – STUDIO TV – SIANG

Zuher, sudah memotong rambutnya sederhana pendek, namun masih bergaya, sedang ditemuramah oleh pengacara tv,

PENGACARA
  Tiba – tiba sahaja nama Encik Zuhairi muncul di
  dalam industri filem tanah air… setelah “Lelaki,
Ayah dan Jutawan” ditayangkan kepada umum,
Encik Zuhairi mendapat pujian menggunung dari
para pengkritik filem, mengapa tiba – tiba sahaja
  Encik Zuhairi membuat keputusan untuk muncul
  ke dalam industri ini ?

ZUHER
  “Lelaki, Ayah dan Jutawan” adalah sebuah
  karya personal… saya pulang ke tanah air setelah
  kematian ayah saya, seolah ada satu motivasi
  yang mendesak saya sampaikan dalam bentuk
  visual sebuah dokumentasi perhubungan
  kekeluargaan itu, bagai apokalips tiba – tiba
  datang dan saya sahutnya sebagai satu wahyu,

PENGACARA
  Dari filem tersebut menampakkan seolah ada
  jurang yang ketara dalam cara Encik Zuhairi
  menginterpretasi perhubungan itu.

ZUHER
  Dia seorang jutawan… saya bukanpun seorang
  karyawan dalam masa hidupnya, saya masih mencari…
  belum sempat diketemui apa dicari, dia sudah pergi…
  itu jurangnya.

CUT TO :

7. INT – SEBUAH KAWASAN PERUMAHAN KOS RENDAH – SIANG

Kereta yang dipandu oleh Ismail berhenti di hadapan sebuah rumah. Zuher turun dari kereta itu, mereka kemudian berjalan ke arah rumah tersebut. Zuher begitu mengamati sekitaran tersebut.

CUT TO :

8. INT – RUMAH ALI CONG – SIANG

Pintu rumah tersebut di buka oleh Ismail. Zuher menjenguk ke dalam.

ISMAIL
  Masuklah…

Zuher nampak sekujur tubuh sedang berbaring tanpa baju dan hanya berseluar pendek sahaja di lantai. Di sekeliling tubuh itu bersepah daun terup.

Ismail menghampiri tubuh itu, dia kemudian mengejutkan lelaki itu,

I ISMAIL
  Ali… Ali…. Ali bangun Li… Li….

Ali menggeliat seketika, dia membuka matanya dan nampak Zuher sedang berdiri memerhatinya.

Ali menutup semula matanya dan tidur.

ISMAIL
  Ali… bangunlah… ini Encik Zuhairi yang
  aku cakap tu dah datang….

Ali membuka semula matanya, dia termenung seketika dan tersenyum lalu bangun dan meninggalkan ruang tamu itu.

ISMAIL duduk dan menyusun semula daun terup tersebut.

Zuher duduk juga di lantai itu sambil memegang sekeping daun terup.

ISMAIL
  Ali ni, dia memang susah tidur malam, jadi
  dia main daun terup ni sampai dia terlelap,
  kalau tak shooting, itulah kerja dia.

Zuher menganggukan kepalanya.

ISMAIL
  Tapi Encik Zuhairi jangan risau… dia
  memang assistant director yang terbaik…
  percayalah.

Ali kemudian muncul semula dengan memakai t shirt terbalik. Dia baru selesai mencuci mukanya.

ALI
  Maaf saya Encik Zuhairi… lambat bangun
  sikit pagi ni…

Ali menghulurkan tangannya kepada Zuher…

ZUHER
  Saya Zuher….

ALI
  Ali….

Ali duduk…

ZUHER
  Ali Cong….

Ali terkejut.. dia pandang Zuher…

ZUHER
  Cong… kamu kuat cong ?

Ali dan Mail tidak faham…

ZUHER
  Cong…. cong terup…

ALI
  Ohh Cong terup…

Ali dan Ismail tergelak.

ALI
  Saya memang kaki cong terup…

Zuher tersenyum.

ZUHER
  Ali Cong….

CUT TO :

9. INT – STUDIO TV – SIANG

Zuher masih sedang serius mendengar soalan dari pengacara itu.

PENGACARA
  Memanglah ada jurang di antara Encik Zuhairi
  dan ayah Encik Zuhairi sendiri…

ZUHER
  Amat besar… jurangnya, amat sedikit masa
  untuk diperbaikinya…tapi filem itu bukan
  melihat dari soal siapa yang salah… ia melihat
  dari satu sudut… sudut yang lain… sudut yang
  amat lain… sudut yang mempertikaikan mengapa
  manusia ini perlu ada hubungan antara satu sama
  lain… sudut yang melihat, ruginya kehidupan
  tanpa satu perhubungan.

PENGACARA
  Dan sepanjang hidup Encik Zuher… anda
  mencari erti perhubungan itu…

ZUHER
  Saya masih gagal menemuinya.

PENGACARA
  Di dalam filem tersebut, di paparkan seorang
  anak yang sedang berjuang dengan kematian,
  kematian terlalu hampir dengannya,

ZUHER
  Ya, kematian terlalu hampir dengannya, namun
  dia belum mati dan dia tidak akan mati selagi
  perhubungan antara dia dan ayahnya belum
  diperkukuhkan.

FLASH TO :

10. INT – BILIK STUDY BANGLOW MEWAH – SIANG

Ismail masuk ke bilik yang penuh dengan buku – buku itu. Dia memandang Haji Mohammed Kamal yang sedang berbincang dengan beberapa orang tetamu di situ. Haji Mohammed Kamal seperti Marlon Brando sebagai Don Vito Corleone “Godfather” dalam cara dia bercakap dan mendengar keluhan tetamu itu.

Dialog mereka tidak kedengaran. Hanya gerak mulut yang jelas. Apabila Ismail melangkah masuk merapati Haji Mohammed Kamal, suasana menjadi semakin gelap…

Ismail merapati ke telinga Haji Mohammed Kamal dan berbisik.

Cahaya yang semakin gelap itu terus malap.

FLASH TO :

11. INT – STUDIO TV – SIANG

PENGACARA
  Mengapa situasi begitu, mengapa si anak
  yang berjuang dengan kematian, mengapa
  bukan si ayah….

ZUHER
  Saya sendiri begitu hampir dengan maut…

FLASH TO :

12. INT – BILIK STUDY – SIANG

Hanya silhoutte Haji Mohammed Kamal sedang bercakap dengan Ismail. Tetamu sudah tiada.

HAJI MOHAMMED KAMAL
  Dia begitu hampir dengan maut….

FLASH TO :

13. INT – STUDIO TV – SIANG

Zuher masih bercakap

ZUHER
  …seolah saya telah diperintahkan untuk mati…

FLASH TO :

14. INT – BILIK STUDY – SIANG

Haji Mohammed Kamal masih bercakap.

MOHAMMED KAMAL
  Seolah dia sudah diperintahkan untuk mati…

FLASH TO :

15. INT – STUDIO TV – SIANG

Zuher masih bercakap.

ZUHER
  …bagaimanapun misi saya belum selesai…
FLASH TO :

16. INT – BILIK STUDY – SIANG

Haji Mohammed Kamal masih disitu.

HAJI MOHAMMED KAMAL
  … dia masih belum ketemui siapa dirinya…

FLASH TO :

17. INT – STUDIO TV – SIANG

ZUHER
  saya harus kembali menyelesaikan misi itu…

FLASH TO :

18. INT – BILIK STUDY – SIANG

HAJI MOHAMMED KAMAL
 … perjalanannya tidak boleh berakhir selagi misinya
belum selesai…

FLASH TO :

19. INT – STUDIO TV – SIANG

ZUHER
itu adalah destini…

Habis kalimah itu Zuher termenung.

ZUHER
  It’s not death, but dying that is terrible…

Tiba – tiba dia mumbling seorang diri. Kemudian kembali termenung.

CUT TO :

20. INT – BILIK STUDY – SIANG

Haji Mohammed Kamal termenung.

HAJI MOHAMMED KAMAL
  Ismail….

ISMAIL
  Tuan…

HAJI MOHAMMED KAMAL
  Saya perlu segera ke Amerika.

ISMAIL
  Saya akan uruskan segera.

HAJI MOHAMMED KAMAL
  Ismail, hubungi hospital sana… saya tidak mahu
  darah yang digunakan untuknya dari darah
  sebarang orang… bayar pelajar kita disana,
  saya mahu darah orang kita terus mengalir dalam
  tubuhnya… tak kira berapa… bayar saja…

ISMAIL
  Saya akan uruskan tuan… cuma, mungkin sudah
  agak terlambat…

Haji Mohammed Kamal termenung.

CUT TO :

21. INT – STUDIO TV – SIANG

Zuher termenung.

PENGACARA
  Saya difahamkan tiga bulan encik Zuhairi berada
  dalam koma, tidak sedarkan diri, apabila bangkit
  dari penderitaan tersebut, encik Zuhairi tinggalkan
  pengajian kejuruteraan dan mengambil kursus
  perfileman… mengapa insiden itu menjadi
  titik tolak kepada bidang seni ini ?

Zuher masih termenung. Jauh menungannya.

FLASH TO :

22. INT – BILIK HOSPITAL – SIANG

Sebuah bilik hospital di “AMERIKA”.

Zuher terkujur di katil dengan alat bantuan hayat.

FLASH TO :

23. INT – STUDIO TV – SIANG

Zuher masih lagi termenung.

PENGACARA
  Mungkin encik Zuhairi mahu memberi komen?
  Encik Zuhairi ? Encik Zuhairi.

Zuher masih termenung. Jauh sekali,

PENGACARA
  Saya juga difahamkan, encik Zuhairi kehilangan
  isteri dan anak kecil, bersama dua rakan lain….

Zuher masih termenung.
CUT TO :

24. INT – BILIK HOSPITAL – SIANG

Zuher dari terbaring tidak sedarkan diri.

Dalam suasana surrealis, seorang wanita muda berpakaian serba putih mendokong seorang anak kecil merapatinya. Wanita itu mengambil tangan Zuher dan mengucupnya tanda selamat jalan. Kemudian wanita itu meninggalkan Zuher lalu ghaib.

Tiba – tiba Zuher membuka kedua – dua belah matanya dengan terbeliak. Kedengaran isyarat kecemasan alat bantuan hayat.

FLASH TO :

25. INT – BILIK KECEMASAN – SIANG

Pakar perubatan sedang memberi rawatan kepada Zuher yang cedera parah dan tidak sedarkan diri ketika itu baru lepas kemalangan.

FLASH TO :

26. INT – STUDIO TV – SIANG

Zuher masih termenung.

PENGACARA
  Encik Zuhairi….

Zuher masih tidak respond

PENGACARA
  Encik Zuhairi ?

Zuher belum respond.

MOHAMMED KAMAL O.S
  Zuhairi….

Tiba – tiba Zuher menoleh ke arah pengacara itu dengan mata terbeliak.

CUT TO :

27. INT – BILIK HOSPITAL – MALAM

MOHAMMED KAMAL
  Zuhairi….

Haji Mohammed Kamal sedang berada di sisi anaknya.

MOHAMMED KAMAL
  Zuhairi….

Haji Mohammed Kamal memegang tangan Zuher yang masih tidak sedar.

MOHAMMED KAMAL
  Papa baru hantar Zaleha ke airport, dia terpaksa
  balik ke UK… kelasnya dah nak mula. Zuhairi…
  papa terpaksa balik ke KL esok, tapi papa akan
  datang segera… selepas semua urusan penting
  disana dapat papa selesaikan. Papa akan berada
  disisi Zuhairi sepanjang masa yang papa ada…
  Just bertahan…. bertahan… its okey to be this
  way… take a rest… bertenang, get the strenght
  because… one day you akan bangkit semula…
  papa tahu Zuhairi akan bangkit semula… papa
  tahu…

FLASH TO :

28. INT – STUDIO TV – SIANG

Zuher bersuara.

ZUHAIRI
  Dia bina perhubungan itu untuk membangkitkan
  semula si anaknya… dia yang melakukannya.

PENGACARA
  Maaf saya… Encik Zuhairi cakap dia ? Dia dalam
  ertikata ayah encik Zuhairi… bukan tuhan yang
  bertanggungjawab di sini ?
CUT TO :

29. INT – BILIK HOSPITAL – MALAM

Haji Mohammed Kamal masih di situ.

MOHAMMED KAMAL
  Bukan papa Zuhairi… tapi tuhan… Allah…
  hanya dia yang dapat menolong kau… papa
  akan terus berdoa untukmu… para pelajar kita
  di sini jugak sentiasa mengadakan majlis doa
  untukmu…

Sekujur tubuh itu masih di situ, terbaring tidak sedarkan diri.

Zuhairi masuk ke dalam framing dan merapati si Ayah.

ZUHAIRI
  Something is lacking here… Yes… ini satu
  monolog, tapi anggap macam you tengah
  bercakap dengan dia… bercakap dengan dia…
  anggap persoalannya sekarang dia bertanya…
  dia bertanya kenapa dia hidup… kenapa dia
  yang hidup… kenapa bukan orang lain. Kenapa
  bukan dia yang mati… apa destinasinya yang
  penting sangat yang menyebabkan dia harus
  terus hidup…. atau mati dalam hidup…

Tubuh yang terbaring tadi sedang di touch up oleh makeup artist,

Di satu sudut Ali Cong berdiri di sebelah camera dan cameraman sambil mengulangi kata – kata Zuher perlahan – lahan menandakan dia sudah hafal kalimah itu.

ZUHER
  Tadi NG… okey next take !

ALI CONG
  Abang okey Bang ?

Bertanya kepada pelakon yang menjadi Haji Mohammed Kamal.

Pelakon itu menganggukkan kepalanya sambil cuba maintain kosentrasinya.

ALI CONG
  Okey standby untuk take 16!!!

FADE OUT :