Bagaimana masa depan mereka tanpa batasan ras?

Setiap parti politik ditubuhkan dengan satu matlamat, mempromosikan fahaman parti itu sebagai jalan terbaik untuk pentadbiran negara. Cendikiawan dan pemerhati politik tempatan mengambil keputusan PRU12 sebagai petanda berakhirnya politik ras di Malaysia, walaupun sebenarnya ia adalah satu saranan yang ‘premature’.

Keputusan PRU12 bukan satu petanda bahawa rakyat Malaysia menolak parti politik berasaskan Ras. Keputusan PRU12 adalah bukti bahawa pengundi sudah muak dengan sikap angkuh ahli politik dan juga ketidak telusan pentadbiran. Barisan Nasional telah menghadapi penentangan ini sejak lewat 90 an lagi. Namun ianya hanya meninggalkan kesan hebat kepada Barisan Nasional pada PRU12 kerana Barisan Nasional berdepan dengan isu kepimpinan yang lemah dan kegagalan memanfaatkan suasana ekonomi yang baik untuk memberi rakyat menikmati habuannya.

Politik angkuh UMNO di bawah Pak Lah tidak dapat berkongsi platfom dengan rakyat

Keteguhan kepimpinan UMNO selama ini banyak membantu kejayaan berterusan BN didalam setiap pilihanraya. Keutuhan kepimpinan di dalam UMNO seringkali berjaya ‘bail out’ isu kepimpinan di dalam parti-parti komponen BN yang lainnya. Parti-parti komponen BN, terutamanya MCA dan parti-parti komponen lain di Sabah dan Sarawak seringkali bergolak. Namun, pergolakan mereka seringkali diselamatkan oleh UMNO sebagai tunjang BN.

UMNO juga sering bergolak semenjak dari penubuhannya pada tahun 1946. Namun setiap kali UMNO bergolak, UMNO akan membersihkan dirinya dengan penyingkiran secara sukarela ataupun penyingkiran secara paksa. Serpihan dari UMNO mewujudkan Parti Negara, Parti PAS dan kemudiannya Parti Keadilan.

Bagaimanapun, Parti Melayu Semangat 46 bukanlah parti serpihan dari UMNO. Apa yang terjadi lewat dekad 80 dahulu amat unik. Tengku Razaleigh Hamzah dan pengikutnya tidak pernah keluar dari UMNO. Mungkin kita lupa, tetapi UMNO ketika itu telah diharamkan hasil usaha beberapa orang kuat Pak Lah ketika itu diantaranya ialah Peguam Radzi Sheikh Ahmad dan peguam yang mewakili UMNO sendiri.

Sejarah lupa bahawa Ku Li tidak pernah keluar dari UMNO

Sedang Mahathir cuba menghalalkan UMNO yang telah diharamkan itu, Tengku Razaleigh pula tergesa-gesa menubuhkan UMNO 88 dan kegagalan menggunakan nama UMNO menyebabkan tertubuhnya Parti Melayu Semangat 46. Mahathir pula kemudiannya mendapat lampu hijau untuk menggunakan nama UMNO dengan menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Baru). 

Di dalam temubual dengan Kickdefella di Palm Manor, Tengku Razaleigh ketika diminta menganalisa masalah UMNO pada 1988 dengan hari ini berkata, pada skala 0 ke 10, di mana 0 paling teruk dan 10 paling baik, masalah yang dihadapi oleh UMNO pada tahun 1988 ialah 6/10 tetapi masalah yang dihadapi pada hari ini ialah 2/10. Begitulah dashyatnya.

Di dalam laporan analisa kepada media sewaktu kempen PRU12, Global Media Channel melaporkan bahawa UMNO akan berhadapan dengan masalah besar dari segi jentera dan kelancarannya dan masalah ini jauh lebih hebat dari yang pernah UMNO alami. Ini kerana, walaupun UMNO mempunyai konflik hebat pada tahun-tahun 50an, 80an dan 90an, namun setiap kali sebelum UMNO menghadapi pilihanraya, UMNO telah menjalankan proses pembersihan dirinya, iaitu sama ada menerusi penyingkiran secara sukarela atau secara paksa terhadap pemimpin-pemimpin yang bermasalah serta pengikutnya.

Di dalam menghadapi pilihanraya 2008, UMNO gagal menyingkirkan masalahnya. Ramai berpendapat, kegagalan menyingkiran Mahathir dan pengikut-pengikut Mahathir dari UMNO telah menyebabkan barah UMNO menjadi terminal ketika menghadapi PRU12.

Dalam sejarah UMNO, semua bekas Presidennya meninggal di luar UMNO bagaimana dengan Tun?

Namun demikian, didalam laporan Global Media Channel yang dikongsikan dengan pihak media dan pemerhati politik, bukan Mahathir yang menjadi masalah di dalam UMNO tetapi masalahnya ialah Abdullah Ahmad Badawi dan Menantunya Khairy Jamaluddin. Kegagalan UMNO menyingkirkan kedua-dua ini merupakan satu tindakan menggali lubang kubur bagi UMNO dan seterusnya mengheret parti-parti komponen BN di Semenanjung terjerlus sama.

Memang benar berlaku banyak sabotaj secara tidak rasmi yang melemahkan kempen UMNO. Namun sabotaj yang jelas bukan dilakukan oleh penyokong Mahathir sebaliknya sabotaj itu dilakukan oleh Khairy Jamaluddin dan Pak Lah selaku Presiden UMNO sendiri.

Khairy Jamaluddin dengan jelas cuba menumpaskan Muhkriz Mahathir di Jerlun sehingga jentera PAS didatangi dengan pelbagai ‘bantuan’ oleh Khairy Jamaluddin yang tidak perlulah dibesar-besarkan di sini. Pendek kata, jika PAS ‘mahu’ menumpaskan Muhkriz di Jerlun, ianya boleh berlaku. Sebaliknya, PAS lebih suka membisikan ‘salam’ buat Mahathir menerusi Muhkriz.

Sabotaj yang paling besar bagaimanapun dilakukan oleh Pak Lah sendiri apabila beliau membelakangkan segala laporan perisikan kerana ianya ‘memburuk’kan menantunya.

Ada juga keluhan dari jentera UMNO yang mengatakan bahawa sabotaj juga berlaku terhadap wang kempen UMNO apabila ianya di pintas oleh anak Pak Lah, Kamaluddin dan juga saudaranya Patrick Lim. Wang kempen yang sepatutnya terus ke jentera parti terpaksa ‘singgah’ dahulu di Seri Perdana Putrajaya.

Isu Hindraf yang akhirnya meranapkan Samy Vellu juga berpunca dari kelemahan kepimpinan negara. Isu penindasan dan ketidakpuasan hati masyarakat India di Malaysia bukan berlaku semalaman. Ianya sudah bertahun dan laporan perisikan berhubung dengannya pun bertimbun-timbun. Bagaimanapun, Pak Lah enggan membeleknya lantas gagal membantu MIC menyelesaikan masalah masyarakat India.

Masalah keanggkuhan pemimpin-pemimpin UMNO mula membuak bila keretakan berlaku di antara Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah. Keretakan ini memberi peluang kepada Mahathir membawa masuk Daim Zainuddin yang seterusnya mengalihkan kekuatan UMNO yang sebelum ini berada pada Menteri Pelajaran kepada Menteri Kewangan. UMNO yang sebelum menjadi parti akar umbi dengan kepimpinan akar umbi terletak ditangan guru-guru sekolah berubah hala menjadi parti ahli-ahli korporat.

Akar umbi mula tersisih dari UMNO

Ketiadaan kekuatan guru-guru di dalam UMNO seterusnya memutuskan UMNO dari realiti akar umbi. UMNO mula dilihat sebagai batu loncatan ke arah menikmati taraf ekonomi yang lebih baik bagi ahli-ahli yang aktif berniaga.

UMNO menjadi parti kontraktor. Belia-belia memilih UMNO untuk senang kaya. Maka mulalah ramai memasuki UMNO untuk mengisi kocek dan bukan lagi membantu orang Melayu.

Apabila Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan, dasar yang sama di amalkannya dan terus diperkemaskan. Hanya selepas penyingkiran Anwar barulah Mahathir sedar bahawa jawatan Menteri Kewangan kini menjadi teraju utama UMNO lalu beliau cuba ‘neutralise’nya dengan menjadikan ia di bawah kawalan Perdana Menteri. Bagaimanapun, Abdullah mengambil iktibar itu dengan menjadikannya milik keluarganya.

Anwar Ibrahim adalah Produk DEB dan juga melahirkan ramai Produk DEB sewaktu menjadi Menteri Kewangan

Kesan dari Abdullah memilik keluargakan Kementerian Kewangan, ramai kontraktor UMNO mula menghadapi masalah kewangan. Akibatnya apabila berhadapan dengan PRU12, kontraktor-kontraktor ini gagal untuk memberi wang bantuan hayat kepada calon-calon UMNO. Kalau dahulu, seorang kontraktor mampu melaburkan RM300 ribu kepada calon UMNO yang dinaunginya, pada PRU12 yang lalu, itu sudah tidak berlaku lagi.

Apabila UMNO telah gagal mendapat bantuan kontraktor-kontraktornya, kemana lagi bantuan hendak diterima. Guru-guru yang dulu menjadi jambatan akar umbi UMNO kini sudah lama makan hati dan beralih haluan. Akibatnya UMNO kehilangan akar umbi dan akhirnya menemui pusara di Kedah, Perak dan Selangor.

Masalah keangkuhan dan kelemahan kepimpinan bukan esklusif kepada UMNO sahaja, ia juga dinikmati sama oleh PAS di Terengganu. Biar apapun yang cuba digembar-gemburkan tetapi sikap angkuh, militan dan semangat kebencian yang tinggi mengakibatkan sejarah pemerintahan PAS pada tahun 1999-2004 di Terengganu terus menjadi benteng yang menghalang tsunami politik  menjarah Terengganu.

Haji Hadi, imejnya dan sejarahnya adalah liabiliti di dalam PAS meloncat keluar batas Ras

PRU12 adalah persada penolakan kepimpinan yang lemah dan bukan penolakan politik berteraskan ras. Rata-rata orang Melayu yang mendapat pendidikan Universiti di Barat di tahun 70 an dan 80 an adalah produk Dasar Ekonomi Baru. Namun, ramai yang telah berjaya enggan mengakui fakta ini. Hari ini mereka lebih gembira berkata bahawa kejayaan mereka adalah hasil titik peluh mereka dan kebijaksanaan mereka sendiri sedang mereka lupa, apatah membayar yuran pengajian mereka ke Universiti terkemuka dunia, membeli tiket kapalterbang ke England atau Amerika Syarikat pun mereka tidak mampu pada waktu itu.

Produk DEB bukan sahaja di dalam UMNO tetapi rata-rata kepimpinan di dalam PAS dan pemimpin Melayu didalam PKR juga adalah produk DEB.

Berapa kerat anak-anak Melayu yang ayah mereka menjual air batu di tepi perkarangan sekolah mampu menghantar anak mereka menuntut di Amerika Syarikat? Sedangkan jerih perih ini adalah perkara biasa bagi anak-anak Cina.

Sedang anak-anak cina yang menuntut di Amerika, England dan Australia terpaksa mengambil dua atau tiga kerja ‘part-time’  untuk meringankan beban ayah mereka menampung kos pengajian mereka, anak-anak Melayu pula mempunyai banyak masa lapang untuk berpolitik dan berusrah di luar negara. Bagaimanapun, bagi generasi kedua dan ketiga DEB, perubahan sudah mula dilihat. Kesedaran dan sensitiviti terhadap kemelut kaum lain akhirnya membawa keinsafan.

DEB adalah produk nasional dan seperti produk nasional lain, masalahnya adalah ia telah di UMNO kan.

Apabila DEB di UMNO kan, orang Melayu turut jadi mangsa

Kaum Cina dan India memang bersedia untuk menolak politik berasaskan ras kerana secara kasar, ini kerana politik berasaskan ras tidak menguntungkan mereka. Namun, adakah orang Melayu boleh menolak dengan bulat politik berasaskan ras? 

Mungkin keterlaluan jika saya berkata bahawa menolak politik berasaskan ras bagi majoriti orang Melayu adalah umpama menolak ajaran Islam, tetapi sebenarnya tidak jauh bezanya perumpamaan itu.

Kita boleh menyempurnakan hasrat menjadi satu bangsa iaitu bangsa Malaysia tetapi, adalah lebih stabil dan aman untuk kita mencapai hasrat itu dengan mengekalkan identiti dan ideologi berbeza. 

PRU12 bukan asas untuk menamatkan politik berteraskan ras, tetapi PRU12 adalah asas yang kuat untuk menyingkirkan Abdullah Ahmad Badawi dan keluarganya dari teraju kepimpinan negara. Itu adalah sasaran jangka pendek yang realistik.Sementara itu, dalam penggal yang baru bermula ini, 5 negeri yang telah diterajui oleh Pakatan Rakyat perlulah membuktikan keupayaan pentadbiran mereka bukan sahaja lebih baik dari BN tetapi boleh membawa kita ke tahap yang lebih baik di dalam segenap aspek.

PAS telah memerintah Kelantan selama 18 tahun, walaupun ia membuktikan bahawa dari segi pentadbiran ia lebih baik dari BN tetapi di dalam banyak aspek ia masih gagal secara mutlak. Akhirnya, PAS di Kelantan juga berkemelut seperti UMNO. Apakah ini sumpahan politik?

Adakalanya, kita perlukan evolusi dan bukan revolusi. Bagi saya, yang pasti, dalam soal berpolitik, evolusi lebih selamat.

Generasi politik tanpa berteraskan ras, selamatkah mereka?