Ku Li, dituduh penyebab kekalahan UMNO

Ku Li, di tuduh penyebab kekalahan UMNO

Abdullah Ahmad Badawi melemparkan tuduhan bahawa Tengku Razaleigh Hamzah adalah punca utama kekalahan teruk UMNO di Kelantan. Mungkin Abdullah perlu mengeluarkan bukti dan bukan sekadar melempar tuduhan. 

Selepas perletakkan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamed, Tengku Razaleigh telah disisih terus dari percaturan politik UMNO Kelantan. Tengku Razaleigh telah menerima hakikat tersebut. Teraju UMNO Kelantan di sandang oleh Annuar Musa dan menjelang pilihanranya, nama Bekas Bakal Menteri Besar Kelantan, Awang ‘Mr. Cohiba’ Adek di julang-julang ke pucuk sana. Tengku Razaleigh tidak lagi kelihatan di majlis-majlis penting di Kelantan seperti di Majlis Pelancaran ECER peringkat Kelantan, sedangkan jasa Tengku Razaleigh amat besar kepada UMNO Kelantan dan juga kepada Petronas. Ini adalah jelas menunjukkan usaha menyingkirkan Ku Li semakin ketara.

Tetapi apa yang tidak jelas ialah bagaimana Tengku Razaleigh berperanan untuk memastikan kekalahan teruk UMNO di Kelantan?

Ku Li tidak punya kuasa dan tidak terlibat didalam pergerakan wang dan jentera kempen UMNO Kelantan untuk beliau sabotaj peluang UMNO. Ku Li juga tidak pernah membuat sebarang kenyataan yang boleh menyebabkan penyokong UMNO membelakangkan UMNO. Oleh yang demikian, sebagai Ketua Bahagian UMNO Gua Musang, Tengku hanya melakukan apa yang diamanahkan kepadanya, iaitu pertahankan kerusi Parlimen Gua Musang. Tengku menunaikan amanah itu walaupun turut tercedera akibat tsunami politik yang meratah hampir separuh majoriti yang diperolehinya pada tahun 2004.

Tuduhan Abdullah jelas membuktikan Abdullah masih kaki tidur yang tidak sedar diri dan tidak pernah mahu mengaku salah. Prinsip politik Abdullah ialah, semua orang buat salah melainkan Abdullah sendiri. Kalau difikirkan, logik juga percaturan politik Abdullah ini, kerana dia asyik tidur jadi orang yang tidur tidak mungkin buat salah sebab dia tidak membuat apa-apa melainkan tidur.

Kekalahan teruk UMNO Kelantan sudah diramalkan oleh pemerhati bebas yang menumpukan perhatian kepada suasana politik di Kelantan. Sebelum penamaan calon, pemerhati bebas meramalkan PAS akan menang 30 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan. Ini diperkukuhkan lagi apabila senarai calon-calon BN diumumkan oleh Annuar Musa yang menyaksikan calon-calon DUN diisi oleh pemimpin-pemimpin simpanan manakala pemimin besar bertempiaran melarikan diri ke Parlimen termasuk Jeneralnya sendiri.

Selepas penamaan calon, bagaimanapun, kegusaran mula melanda apabila jentera BN dilihat lembab dan tidak berfungsi dengan sempurna walaupun disuntik dengan semangat baru dengan perletakkan banting-banting Awang Adek, sebagai Bakal Menteri Besar Kelantan di setiap tiang-tiang letrik di Kelantan.

Siapakah yang memilih Awang Adek? Adakah Tengku Razaleigh yang memilih Awang Adek dan seterusnya tindakkan memalu gendang mengumumkan Awang Adek sebagai Bakal Menteri Besar baru mengakibatkan UMNO kalah teruk di Kelantan? Atau Awang Adek adalah pilihan yang dibuat oleh Abdullah atas nasihat Dato’ Seri Panglima Annuar Musa?

Menjelang hari pembuangan undi, pemerhati bebas dan Global Media Channel berkongsi ramalan dengan pihak media massa yang membuat liputan di Kelantan dengan menunjukkan statistik bahawa PAS akan menang di 32 kerusi DUN, tambahan 2 kerusi DUN berbanding ramalan sebelum penamaan calon.

Tiga bekas Exco PAS Kelantan

32 kerusi DUN ini adalah hasil kerja keras Jawatankuasa Pilihanraya Negeri (JPN) yang di ketuai oleh “Abang Tah”, bekas Ahli Parlimen Rantau Panjang bersama anak-anak buahnya yang bertungkus lumus selama hampir 4 tahun dan jentera pilihanraya di peringkat peti-peti undi.

JPN telah memain peranan penting didalam membersihkan senarai pemilih setiap kali ianya diedarkan. JPN juga telah bertungkus lumus mendaftar pemilih baru dan mendapatkan segala maklumat-maklumat tentang pemilih diperingkat DUN. Selain itu, disaat-saat akhir, JPN telah memainkan peranan penting menyelesaikan isu-isu yang belum selesai di beberana DUN yang bermasalah.

Masalah bagi UMNO Kelantan sebenarnya berkurangan selepas PAS mengumumkan senarai calon-calonnya kerana sekurang-kurangnya 4 DUN yang dimenangi PAS pada 2004 diwakili oleh calon-calon yang boleh menjadi liabiliti dalam PRU12.  Bagaimanapun UMNO gagal untuk mengguna-pakai permasalahan ini sehingga ke saat akhir.

Dato’ Takiyuddin bersama Ustaz Mohd Amar, yang hangat disebut sebagai pengganti Tok Guru

Tsunami Politik hanya menyumbangkan 7 kerusi kepada pakatan PAS-PKR bagi DUN di Kelantan. Tsunami Politik ini di bawa menerusi beratus-ratus buah bas sewa khas dan beribu-ribu buah kenderaan yang di taja oleh Pemuda BN menerusi kempen “Pade Doh” mereka. Usaha besar-besaran membawa pulang pengundi-pengundi yang bermaustautin di luar Kelantan ini jelas memberi kesan negatif kepada UMNO Kelantan. Kepulangan mereka hanya menambah derita UMNO Kelantan.

Saya masih ingat apabila Dato’ Husam melahirkan kegusarannya kepada saya tentang perancangan BN untuk membawa pengundi-pengundi yang bermastautin di luar Kelantan. Saya bersyukur kerana jawapan saya dua minggu sebelum pembubaran Dewan Rakyat itu terbukti benar seperti analisa saya.

Husam, menurut Media Massa hampir diketepikan akibat ‘pergolakan’ dalaman

Saya melihat dua faktor utama berhubung sentimen pengundi-pengundi yang dimaksudkan ini, pertama, mereka ini yang bermastautin di bandaraya-bandaraya besar adalah mangsa paling kejam rejim ekonomi Pak Lah dan mempunyai lebih sebab untuk tidak mengundi BN dari pengundi yang sedia menetap di Kelantan.

Faktor kedua adalah, kebanyakan pengundi yang bermastautin di bandaraya-bandaraya besar ini lebih celik IT dan mempunyai akses kepada media alternatif. Media alternatif telah dijuarai oleh barisan Pembangkang dan barisan anti Pak Lah. Jadi, mereka ini lebih matang didalam penilaian mereka berbanding pengundi tempatan yang bergantung kepada media arus perdana.

Berdasarkan analisa ini adalah sukar untuk menelan tuduhan Pak Lah bahawa UMNO Kelantan kecundang kerana permainan politik Tengku Razaliegh. Sebaliknya, sehari sebelum hari pembuangan ini, saya di maklumkan oleh seorang kenalan media. Bahawa Ku Li sendiri menyatakan kegusarannya bahawa BN akan tewas besar di Kelantan. Ku Li berkata, BN akan hanya dapat tidak lebih dari 6 kerusi di Kelantan. Ramalan Ku Li ini bukan berdasarkan kerjanya untuk sabotaj UMNO Kelantan tetapi berdasarkan pengamatannya dan sensitivitinya terhadap keadaan semasa yang melampaui batas fanatik ahli parti.

Sebahagian dari pengundi yang pulang dengan ehsan BN

Tuduhan Pak Lah ternyata membuktikan dia masih gagal bangkit dari lenanya. Pak Lah masih memikirkan bahawa dia menerima mandat ‘besar’ walau ‘sedikit’ kurang dari 2/3 dan terlupa bahawa dia kehilangan negerinya bersama 3 negeri lainnya kepada Pembangkang.

Kalau Najib pernah mengumumkan bahawa tahun 2008 adalah Tahun Merawat Kelantan, nampaknya sekarang Najib harus umumkan kepada Pak Lah bahawa Tahun 2008 adalah tahun merawat UMNO.

Ahli-ahli UMNO dan kepimpinan UMNO perlu menilai semula kesetiaan mereka kepada UMNO atau kepada Pak Lah. Permasalahan besar di dalam UMNO ialah yang pertamanya, masalah kepimpinan yang lemah. Kedua masalah ketiadaan pemimpim pelapis yang dipercayai oleh rakyat dan yang ketiganya, masalah Pak Lah yang terlalu mempercayai menantunya. Pak Lah ternyata seorang yang bodoh, jadi senanglah dia mempercayai menantunya yang lulusan Oxford itu. Tetapi adakah barisan ahli UMNO juga sama tidak pandai dengan Pak Lah?

UMNO ada masa tidak lebih 60 hari untuk merawat dirinya sementara mereka masih menerajui kerajaan Malaysia. Menjelang pertengahan tahun, UMNO akan berdepan dengan pemilihan peringkat cawangan, disusuli dengan Bahagian dan akhirnya pemilihan pucuk pimpinan di peringkat pusat. Ternyata, berdasarkan pengalaman lalu, tempoh enam bulan terakhir 2008 adalah tempoh di mana pemimpin UMNO tidak akan berfungsi sebagai pemerintah negara dengan baik kerana masing-masing terlalu komitted mempertahankan kedudukan masing-masing dan menghabiskan mungkin puluhan juta untuk tujuan tersebut.

Sekiranya UMNO gagal merawati diri mereka di dalam 60 hari ini, maka, rakyat Malaysia perlu menerima hakikat bahawa Negara Malaysia akan di pimpin secara kawalan jauh oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang sibuk dengan kecamukan politik dalaman dan perjuangan menyelamatkan masa depan politik masing-masing.

Walau apapun pandangan massa, UMNO perlu diberi pengiktirafan untuk merawat diri nya, cuma persoalannya, haruskah UMNO dirawat dari dalam Kerajaan atau di luar Kerajaan? Hanya senario politik semasa yang akan menentukannya. Dan ianya tertakluk kepada angka 30 di Dewan Rakyat.