Pembangkang Harus Pertahankan Kerajaan Pak Lah.

Dalam tempoh 10 hari selepas keputusan mengejutkan PRU 12 yang menyebelahi rakyat, Pak Lah telah gagal mendapatkan simpati ramai. Keaiban Pak Lah menjadi pemimpin Melayu terlemah di dalam era 50 kemerdekaan negara ternyata gagal menagih simpati ramai.

Pak Lah, setiap kali membuka mulutnya, ternyata mengeluarkan satu bahan kimia yang terus menerus menimbulkan kebencian rakyat. Tidak dapat dipastikan, sama ada bahan kimia tersebut berpunca daripada tindakbalas saraf di dalam otaknya, kerana ramai tidak percaya Pak Lah mempunyainya, atau kalau ada pun, tidak pernah digunakannya sejak menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Apa yang jelas, Pak Lah terus bongkak. Pak Lah terus angkuh dan Pak Lah terus biadap terhadap rakyat. 

Adalah amat mengejutkan mengapa Pak Lah begitu tidak sensitif dan terus-terus bertindak negatif terhadap perasaan rakyat. Apakah para penasihatnya memang bahu pak Lah di lihat sedemikian. Tapi kalau benar, mengapa? Bukankah para penasihat harus memberi nasihat yang boleh membawa imej positif terhadap orang yang dinasihatinya.

Keangkuhan dan kebiadapan Pak Lah semakin terus menyakitkan hati rakyat bila mengangkat pemimpin seperti Muhammad Muhammad Taib ke dalam kabinet. Pemimpin pra sejarah yang terkenal sebagai penipu antarabangsa dengan skandal penipuannya di Mahkamah di Brisbane dan juga lanun yang pernah melarikan Puteri Raja dan kemudian menderhaka dengan pelbagai pembohongan terbuka kini menerima mandat baru oleh Pak Lah untuk meneruskan mungkin apa yang terkenal tentang dirinya, iaitu menipu.

Pengguguran Azmi Khalid pula tentu sekali menyiksakan, kerana sudah pasti Azmi akan menghadapi kesukaran untuk membela isteri baru, Normala Shamsudin yang gemar dengan publisiti. Radzi Sheikh Ahmad pula tergugur dengan alasan rasminya adalah untuk menumpukan perhatian kepada memperkukuhkan semula UMNO sesuai dengan jawatannya sebagai Setiausaha Agung UMNO. Tetapi sumber tidak rasmi menyebut, pengguguran Radzi adalah kerana dia telah mengidap penyakit main belakang yang mengakibatkan tergoleknya Shahidan Kassim di Perlis.

Sementara itu, walau ramai bersukahati dengan pengguguran Rafidah Aziz, apa yang ramai tidak tahu, Rafidah Aziz telah mengorbankan jawatan kabinetnya demi memastikan Khairy Jamaluddin tidak diangkat ke dalam Kabinet. Di dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO selepas PRU12, Rafidah Aziz telah bergaduh besar dengan Abdullah kerana kesungguhan Abdullah mahu Khairy menjadi menteri. Rafidah yang amat tidak bersetuju dan telah menampar meja beberapa kali dalam menegakkan hujahnya bahawa Khairy adalah pemusnah kepada kredibiliti UMNO. Akibatnya, Rafidah telah digugurkan. 

Nama Tengku Razaleigh Hamzah telah di angkat untuk kembali ke kabinet, walau ramai ahli MT musykil Tengku Razaleigh akan menerimanya. Tengku Razaleigh sebaliknya telah mengutus surat kepada kesemua ketua cawangan UMNO untuk memanggil Persidangan Agung Luarbiasa dan ini adalah cara yang luarbiasa bagi Tengku Razaleigh untuk mendesak akan namanya tidak tersenarai semula ke dalam kabinet.

Senarai kabinet kali ini jelas menampakkan usaha pembersihan tetapi pembersihan moral hanya kepada mereka yang dikenalpasti berada di dalam kem Najib. Ini juga adalah secara halus Pak Lah untuk melunturkan pengaruh Najib dan seterusnya membiarkan pula Najib kelemasan didalam pelbagai spekulasi tentang Anwar Ibrahim akan mengeluarkan semula segala fail-fail Najib termasuk fail yang melibatkan skandal di Port Dickson yang di katakan turut melibatkan seorang bekas penyanyi perempuan popular yang berlaku pada tahun 1994.

Jika kita mengharapkan 2008 akan merupakan Tahun Merawat UMNO dan BN, maka rasanya sepanjang 2008 hanyalah permulaan untuk mengadakan diagnosis terhadap UMNO. Tempoh merawat UMNO sebenarnya belum bermula. Selagi Pak Lah di tampuk pemerintahan UMNO, mustahil UMNO dapat di rawat. Pak Lah adalah sel barah yang memusnahkan imuniti UMNO. Hanya dengan penyingkirannya dari tampuk kuasa sahajalah baru UMNO boleh dirawat.

Bagi rakyat Malaysia, persoalannya, haruskan UMNO dirawat? 

Bagi pihak pembangkang, mempertahankan Pak Lah sebagai teraju kepimpinan UMNO dan seterusnya Malaysia adalah sesuatu yang paling tepat untuk dilakukan. 

Terdapat dua persepsi sekarang. Persepsi Anwar Ibrahim, yang seperti biasa sentiasa gelojoh dengan nafsunya tentu sekali mahu menyerang UMNO habis-habisan sehingga ada pengakuan dari seorang Menteri telah didatangi oleh seseorang menawarkan RM50 juta untuk berpaling tadah. Ada juga berkata, Anwar sudah memiliki 27 wakil rakyat BN yang bersedia untuk menyebelahinya bila masanya tiba.

Ternyata tidak mustahil kerajaan Abdullah boleh digulingkan dalam masa terdekat. Apabila bermula sidang Dewan Rakyat, usul undi tidak percaya boleh dibentangkan dan kemungkinan usul itu diterima dan undi menyebelahi pembentang usul itu berpotensi positif. Akibatnya, Abdullah mempunyai pilihan untuk meletak jawatan, membubar parlimen atau bercuti selamanya di Australia. Apapun, apabila ini berlaku, hanya keputusan negatif yang akan diterima oleh Abdullah.

Bermulanya mesyuarat cawangan-cawangan UMNO, diikuti oleh bahagian dan kemudian Mesyuarat Agung UMNO sudah pasti juga akan menyaksikan medan Abdullah mempertahankan dirinya dan menantunya. Setakat mana Abdullah mampu mempertahankannya hanya bergantung kepada sebanyak mana wang kempen pilihanraya untuk UMNO yang telah disimpan oleh Kamaluddin Abdullah dan Patrick Badawi. Khabarnya, kedua-dua mereka juga memain peranan penting apabila mereka bertindak sabotaj wang kempen UMNO untuk PRU12 mengakibatkan jentera-jentera UMNO tidak dapat berfungsi dengan lancar.

Jika benar, wang itu dibawa ke Seri Perdana dan bukan ke gelanggang PRU12, bererti ahli-ahli UMNO hanya ada dua pilihan. Samada untuk berputih mata melihat ketua-ketua bahagian mereka menikmati durian runtuh sedangkan UMNO tergadai atau untuk turut sama menuntut sebahagian dari durian runtuh itu dan sama-sama menguburkan UMNO lebih cepat dari proses naturalnya.

Bagaimanapun, tindakan yang lebih realistik bagi Pembangkang ialah untuk bersabar dan membiarkan Pak Lah terus memerintah Malaysia bahkan turut sama memudahkan Pak Lah memerintah Malaysia supaya lebih banyak kebencian rakyat terkumpul untuk UMNO dan BN seterusnya bila tiba PRU13, empat ke lima tahun lagi, UMNO dan BN boleh dikebumikan dengan penuh adat istiadat demokrasi.

Risikonya tentu ada jika proses ini diambil. Kemungkinan, berlaku kebangkitan di dalam UMNO dan kebangkitan di kalangan parti-parti komponen BN yang akhirnya membersihkan diri mereka dari Abdullah dan Khairy seterusnya penjenamaan semula BN berlaku seperti di era 1970-an yang kemudiannya menyaksikan mereka tampil semula dalam pilihanraya seterusnya. Kalau diikut rentetan sejarah 2004 dan 2008, 2012 akan merupakan tahun Pembangkang kembali kecundang. Ini samalah seperti 1964, 1969 dan 1974.

Seterusnya, adakah sanggup pembangkang melihat Pak Lah terus mendurjanakan Malaysia demi kepentingan politik mereka. Situasi paling conducive bagi pembangkang ialah kekalkan pemerintahan Pak Lah. Tetapi saya yakin, kerana cintakan Malaysia dan ketidak sanggupan melihat rakyat Malaysia terus menderita, pembangkang terpaksa menelan walau mati emak dari diluah dan matinya bapak.

Sebenarnya, Malaysia berada di tahap yang paling kritikal. Tsunami 2008 hanya mengiyakan kemarahan rakyat terhadap kepimpinan Abdullah tetapi tidak memberikan penyelesaiannya.

Malaysia juga diambang kembalinya Anwar Ibrahim. Anwar walau diterima hebat oleh rakyat Malaysia bukan Islam, tetapi tidak bulat didalam menerima sokongan rakyat Malaysia yang beragama Islam.

Anwar mungkin pilihan yang terbaik untuk Malaysia pada saat ini, tetapi jalan pilihan Anwar mungkin tidak yang terbaik.

Hanya satu nama yang disebut boleh menyatukan semula parti-parti politik di Malaysia pada ketika ini dan nama itu adalah Tengku Razaleigh Hamzah.

Pada 1990, Tengku Razaleigh menerusi Gagasan Rakyat dan menerusi Angkatan Perpaduan Ummah, telah membentangkan satu manifesto bertajuk Selamatkan Malaysia. Manifesto itu kalau dilihat dengan Manifesto Pembangkang-pembangkang hari ini, hampir tiada bezanya.

Mungkin masanya telah tiba untuk kita kembali bersatu untuk Selamatkan Malaysia.