Agenda Pos Pilihanraya Rakyat baru bermula. Abdullah Ahmad Badawi punya dua pilihan, menyerahkan tampuk pimpinan Malaysia kepada Najib atau kekal dan angkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Jika Abdullah Ahmad Badawi menarik diri dari jadi Perdana Menteri, dia hanya akan bertanggungjawab terhadap prestasi buruk BN dalam PRU 12. Tetapi kalau dia terus kekal, dia akan bertanggungjawab terhadap kehilangan hak BN kekal sebagai Kerajaan di Malaysia.

Rakyat kini memiliki 82 kerusi di Parlimen. Rakyat hanya memerlukan 30 kerusi sahaja lagi menerusi agenda pos pilihanraya bagi menubuhkan sebuah Kerajaan Rakyat di Malaysia. 30 kerusi ini tidak lagi mustahil kalau Abdullah kekal dengan kedegilannya. Dengan 30 kerusi ini, Rakyat akan memiliki majoriti mudah iaitu 112 kerusi di Dewan Rakyat.

30 kerusi ini akan datang dari beberapa konstituensi di Sabah dan Sarawak dan juga dari lain-lain Parti Komponen di dalam Barisan Nasional. 30 kerusi ini saya yakin sudah dikenalpasti oleh rakyat dan bakal diserahkan kepada rakyat di dalam masa terdekat dengan izin yang Maha Kuasa. Selepas rakyat memiliki 30 buah kerusi ini, dalam masa terdekat selepas itu, arus perubahan akan berlaku dan rakyat akan memiliki majoriti 2/3 di dalam Dewan Rakyat. Pemimpin Kerajaan Rakyat akan dapat membuat beberapa perubahan drastik dan menstabilkan ekonomi negara serta mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh rakyat akibat kenaikan harga bahan api. Kemudian, bagi mengesahkan kesahihan kerajaan rakyat, satu pilihanraya umum bagi Dewan Rakyat boleh dipanggil selepas itu bagi mendapat mandat baru.

Namun begitu, Kerajaan Rakyat ini tidaklah boleh dikenali sebagai Barisan Alternatif kerana ia seharusnya menggabungkan kesemua wakil rakyat yang jujur dan ikhlas memperjuangkan pembahruan dan mengembalikan hak rakyat. Kerajaan Rakyat ini harus menggambarkan situasi sosial Malaysia. Kerajaan Rakyat harus menjadi sebuah ‘Kerajaan Terbuka’.

Kerajaan Terbuka adalah sebuah Kerajaan yang diwakili oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang menang di dalam PRU12 yang baru lalu yang menerima agenda pembahruan rakyat Malaysia. Kerajaan Terbuka tidak boleh berlandaskan ideologi mana-mana Parti Politik sebaliknya berlandaskan perjuangkan dan mendaulatkan rakyat serta mempertahankan Perlembagaan Negara, Rukun Negara dan keutuhan sistem demokrasi.

Oleh yang demikian, Kerajaan Terbuka ini selain daripada merupakan gabungan 82 ahli Dewan Rakyat dari PKR-DAP-PAS + 30 ahli Dewan Rakyat yang menang di atas tiket BN, ia juga akan menerima penambahan menerusi kemasukkan Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang diterima rakyat dari UMNO.

Maka kerana itulah, PRU12 sebenarnya adalah kemenangan Rakyat. Walaupun PRU12 tidak memberi hak mutlak kepada rakyat tetapi ia memberi ruang kepada rakyat untuk bergerak dan menubuhkan Kerajaan Rakyat menerusi Agenda Pos Pilihanraya.

Apakah risiko peralihan kuasa ini akan membunuh UMNO? Sebenarnya UMNO dan BN sudah berada di persimpangan yang melelahkan mereka. Sudah tentu ada usaha di dalam UMNO dan BN untuk membeli beberapa wakil rakyat dari PKR-DAP-PAS bagi mengembalikan majoriti 2/3 nya di Parlimen dan merampas semula Perak dalam tempoh sehari dua ini, tetapi ia semua bergantung kepada kesanggupan sesiapa menjadi pengkhianat.

Sebaliknya, Abdullah Ahmad Badawi boleh berundur sekarang dan menyerahkan tampuk pimpinan BN kepada Najib dengan menjadikan Najib sebagai Pemangku Presiden UMNO. Najib akan melengkapkan teori R-A-H-M-A-N, bagaimanapun, Najib akan memikul tanggunjawab sebagai orang yang memusnahkan BN.

Najib, suatu ketika dulu berjanji akan memandikan kerisnya dengan darah Rakyat Malaysia keturunan cina, merupakan liabiliti besar kepada BN walaupun mendapat sokongan padu dari Tun Dr. Mahathir. Liabiliti yang ada pada Najib akan menyukarkan dia menjadi pemimpin berwibawa. 

Najib mempunyai kemampuan memimpin dengan baik tetapi bukan prestasinya yang dipertikaikan tetapi reputasinya yang penuh skandal itu tidak mungkin terpikul oleh BN.

Pendek kata, pilihan tidak ada bagi wakil-wakil Rakyat MCA. Apakah mereka akan bertuankan orang yang mahu mandikan kerisnya dengan darah Rakyat Malaysia Keturunan Cina dan seterusnya mematikan MCA atau mengekalkan hayat MCA dengan mengundurkan 15 ahli Parlimennya dan 31 ahli Dewan Undangan Negerinya dari BN untuk memberikan sokongan kepada penubuhan Kerajaan Terbuka.

Seterusnya bagi terus mengekalkan imbangan sosial di dalam Kerajaan Terbuka, patriot di dalam UMNO dikalangan ahli-ahli Parlimennya akan tiada pilihan tetapi menyertai Kerajaan Rakyat. Namun Kerajaan Rakyat harus berhati-hati kerana kita tidak mahu ia dibanjiri oleh Ahli-Ahli Parlimen yang memikul pelbagai liabiti. Kerajaan Rakyat walaupun sebuah Kerajaan Terbuka tidak boleh dilihat memikul biawak hidup kerana salah satu agenda Kerajaan Terbuka ini ialah mengenalpasti dan menerajui penyiasatan terhadap pelbagai penyelewengan yang dibuat oleh mereka yang berada di dalam pentadbiran lalu.

Saya melihat Kerajaan Terbuka ini mempunyai harapan menggabungkan 170 ahli Parlimen dan seterusnya menguasai 2/3 majoriti di parlimen.

Kerajan Terbuka adalah satu lembaran baru buat rakyat dan adalah satu-satunya harapan bagi Rakyat untuk mengembalikan kedaulatan Rakyat Malaysia.

UMNO memiliki 78 kerusi di Parlimen. PAS memiliki 23 buah kerusi. PAS tidak boleh menyerahkan dirinya untuk membantu UMNO kerana ini adalah pengkhianatan terhadap Rakyat. PKR ada 31 kerusi di Parlimen. Beberapa pemimpin Melayu di dalam PKR seharusnya janganlah sanggup mengkhianati rakyat dengan kembali menyertai UMNO.

UMNO mungkin ditahap awal barahnya yang membolehkan pengambilan risiko menerusi pemisahan organ yang diserangi sel barah itu di buat. Tetapi BN sudah di tahap terminal barahnya. 

Rakyat seharusnya bertenang dan membiarkan para broker melakukan tugas mereka demi kepentingan Rakyat. Sekali lagi, dengan izin Maha Kuasa, hak Rakyat akan menjadi mutlak.

Sebuah Kerajaan untuk semua rakyat Malaysia tidak lagi mustahil. Kerajaan Rakyat, sebuah Kerajaan Terbuka ini, hanya 30 kerusi dari menjadi nyata. Atau mungkin sehingga saat artikel ini ditulis, hanya beberapa kerusi sahaja lagi.