Kedegilan Abdullah Penamat Buat UMNO

Abdullah enggan berundur. Lagaknya seperti UMNO bulat bersamanya. Rakyat belum menolak UMNO sepenuhnya, tetapi Rakyat telah menolak Abdullah buat selamanya. Jadi jika UMNO tergamak buat kali terakhir ini membelakangi Rakyat dan tergamak membiarkan Abdullah berpaut pada UMNO untuk teruskan Kerajaan Anak Menantunya, maka, sudah tibanya masanya menerusi Agenda Pos Pilihanraya, Rakyat menolak UMNO sekali bersama Abdullah.

Jika UMNO mahu terus memberi perlindungan kepada Abdullah, maka ada baiknya UMNO kita biarkan jadi pembangkang. Dan saat itu, diharap UMNO akan terus mempertahankan Abdullah supaya dia kekal dalam lipatan sejarah sebagai Presiden UMNO yang pertama menjadi Ketua Pembangkang di bumi yang UMNO gelar Tanah Melayu.

Mungkin benar UMNO adalah pengawal ketuanan Melayu tetapi ada baiknya kali ini UMNO menjadi pengawal ketuanan Melayu sebagai Barisan Pembangkang di Dewan Rakyat bersama dengan 5 negeri lain di Malaysia.

Sebuah Kerajaan Terbuka perlu mengambil alih teraju pemerintahan negara sementara UMNO mengambil langkah mengenali diri dan mengenali siapa mereka. Adakah mereka benar-benar pejuang Melayu atau mereka hanyalah pejuang untuk mendapatkan ekuiti Melayu dalam perniagaan.

Bagi Wakil-Wakil Rakyat UMNO yang sedar bahawa mereka benar-benar pejuang Melayu, mereka bolehlah tinggalkan BN sekarang dan sertai Barisan Rakyat menubuhkan sebuah Kerajaan Terbuka bersama pejuang hak masyarakat Cina, masyarakat India, pejuang masyarakat Dayak, Iban, Kadazan, pejuang hak asasi Manusia, pejuang kebebasan beragama, pejuang Bangsa Malaysia dan Pejuang-Pejuang Islam. 

Seperti yang saya jelaskan di dalam posting sebelum ini, Barisan Rakyat hanya perlu 30 kerusi Dewan Rakyat untuk memberi peluang kepada UMNO mengubati dirinya bersama Abdullah Ahmad Badawi.

UMNO telah membuat pilihan menolak suara rakyat dengan berdiri bersama Abdullah. Ini beerti UMNO telah membuat keputusan untuk mengubati dirinya bersama Abdullah.

Setelah empat tahun berehat sementara rakyat menderita, adalah amat tidak adil bagi rakyat membenarkan UMNO terus memerintah sambil merawat diri sendiri.

Tibalah masanya tahun 2008 menjadi Tahun Merawat UMNO. Dan sementara UMNO merewat dirinya, biarlah UMNO menjadi Pembangkang dan Rakyat memerintah bersama sebuah Kerajaan Terbuka.

Mungkin Tengku Razaleigh Hamzah bersedia untuk memberi 1 kerusi Parlimen kepada Barisan Rakyat. Mungkin Tengku Razaleigh boleh membawa bersamanya setidak-tidaknya 10 lagi kerusi Parlimen buat Barisan Rakyat. Mungkin Pemimpin Kaum Kadazan dan Dusun di Sabah, Pemimpin Kaum Melanau dan Iban di Sarawak juga mahu menyertai Barisan Rakyat. Mungkin 3 kerusi MIC yang kini sudah pasti tidak lagi berupaya membela nasib Kaum India juga beralih arah demi masa depan Masyarakat India dengan menyertai Barisan Rakyat. 30 amatlah sedikit jumlahnya dan mungkin ramai juga patriot di dalam UMNO, MCA dan PBB dapat membawa 30 kerusi itu dengan ikhlas memperjuangkan rakyat dan bukan untuk mengisi poket mereka.

Rakyat menghitung hari mentadbir Malaysia. Barisan Rakyat menghitung kerusi untuk menubuhkan Kerajaan terbuka. Patah Sayap Terbang Juga!