Bokbong!

29 10 2009

(Foto ehsan Tambako)

Apa guna kepuk di ladang
Kalau tidak berisi padi
Apa guna berambut panjang
Kalau tidak berani mati

Guruh berdentum bumi bergegar
Ayam jaguh sedang bersabung
Jangan cakap sahaja berdegar
Hulur senjata kita bertarung

Limau bentan di tepi tingkap
Budak-budak melempar burung
Harimau di hutan lagi kutangkap
Inikan pula cicak mengkarung

Pudak bukan sebarang pudak
Pudak tumbuh di tepi lombong
Jalak buka sebarang jalak
Jalak biasa menang bersabung

Anak Cina bersampan kotak
Muatan sarat dengan ragi
Biar retak bumi kupijak
Kamu takkan kulepaskan lagi

Sejak kecil saya mendengar perkataan Bokbong tanpa saya  tahu apa itu Bokbong. Tapi saya diberi faham bahawa Bokbong itu adalah sejenis ‘muga’ yang boleh memberi bahaya dan memberi rasa takut yang amat sangat kepada budak-budak kecil terutama bagi yang suka tidur lambat, main sendirian di belakang rumah atau tempat gelap dan suka menangis malam.

Hanya baru-baru ini saya mendapat tahu apa itu Bokbong sebenarnya. Bokbong sebenarnya adalah sejenis haiwan yang dalam Bahasa Inggerisnya dipanggil Mongoose.

Ia sangat hebat, lincah dan licik. Kepantasannya bisa membuatkan ia mampu menewaskan Ular Tedung yang berbisa itu.

Saya merasakan satu pecah amanah telah dilakukan. Saya telah dikaburi dari fakta sebenar sehingga saya percaya saya sepatutnya takut kepada Bokbong walhal kalau saya diberitahu dengan benar apa itu Bokbong sebenarnya, saya akan mahu menghormatinya dan mempelajari secara falsafah kehebatannya dalam berdepan dengan ular yang saya amat tidak suka. 

Saya harap tidak ramai mereka yang menimpa nasib seperti saya iaitu tidak mengetahui perkara sebenar sehingga kita boleh menyalah tafsirkan yang baik jadi buruk dan yang buruk jadi baik. Lebih-lebih lagi saya berharap tokoh-tokoh penting dalam dunia kita tidak turut menjadi mangsa kepada orang yang suka pecah amanah ini.

Seksyen 405 Kanun Keseksaan (Pindaan 1997) – Pecah Amanah atau lebih dikenali dengan nama Criminal Breach of Trust.

Secara kasarnya seseorang itu yang diberi pertanggungjawabkan ke atas sesuatu harta atau jawatan yang memberinya kuasa atau kuasa bersama ke atas sesuatu harta secara berseorangan atau bersama telah menggunakannya secara tidak jujur atau telah memilik dirikan harta itu itu atau telah melucut hak milik harta yang diamanahkan itu dengan tidak berlandaskan proses undang-undang yang diperuntukan atau telah mengaburi pihak yang memberinya amanah dengan dengan apa tujuan sekalipun telah melakukan pecah amanah.

Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Pindaan 1997) menyatakan, jika pecah amanah telah dilakukan oleh Pentadbir Awam atau ajen, hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih dua puluh tahun beserta sebatan / rotan dan denda hendaklah dijatuhkan keatasnya.

Saya mahu jadi Bokbong bukan mahu takut pada Bokbong.





Tersembam Di Lebuhraya

26 10 2009

Lori Balak Lojing_0021

 

Seorang sahabat minta dari saya akta Suruhanraya Pencegahan Rasuah Malaysia, saya kata saya tiada salinan. Yang saya ada hanyalah rang Undang-Undang, tak tahulah kalau ada pindaan sebelum jadi undang-undang. Jadi saya pamerkan disini untuk dilihat beramai-ramai. Tak elok tengok seorang-seorang.

Definisi Anggota Pentadbiran dan Badan Awam :

Anggota Pentadbiran

Definisi Pegawai Badan Awam:

Pegawai

Definisi Saudara:

Saudara

Definisi Sekutu:

Sekutu

Kesalahan Melakukan Suapan:

Suapan

Kesalahan Guna Jawatan Untuk Suapan:

Kesalahan Guna Jawatan

Hukuman 

Hukuman





Tersungkur Di Pintu Syurga

16 10 2009

Contender Asia_0064

 

Kebelakangan ini saya asyik terkenangkan sebuah buku lama yang pernah saya baca di akhir 90 an dulu. Buku bertajuk “Tersungkur Di Pintu Syurga”. Buku nukilan saudara Zabidi Mohamed, seorang bekas majisteret yang pernah berkhidmat di Kelantan dan antara orang kanan dalam pertubuhan Al Arqam.

 

Informasi dalaman tentang ‘state of mind’ pemimpin agung Al Arqam dan anekdote-anekdote berhubung sesuatu kejadian yang tertulis oleh Zabidi amat senang saya baca. Bukan setakat itu sahaja, ianya amat berkesan dan tak kurang masanya saya habiskan dengan ketawa terbahak-bahak.

 

Ketawa terbahak-bahak? Ya, ketawa kerana kelucuan timbul akibat sikap fanatik terhadap seseorang tokoh.

 

Antara yang masih menggelikan hati saya sehingga hari ini ialah apabila Zabidi menceritakan saat-saat bas dua tingkat milik Al Arqam di Thailand tiba-tiba diiring oleh pasukan polis Thai. Segera mereka yang berada bersama Abuya di dalamnya berkata dengan bangga, belum lagi Abuya diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia, Kerajaan Thailand sudah beri penghormatan sebegitu kepada Abuya. Apa yang hanya kemudian mereka ketahui ialah bas itu dikepung oleh polis Thai untuk menahan Abuya mereka.

 

Saya juga masih ingat bagaimana mereka melihat janggut Abuya yang kononnya tak boleh mereka angap suci dan tak boleh disentuh itu telah togel dicukur oleh Polis Cawangan Khas Malaysia.

 

Dan sehingga hari ini saya masih menggaru kepala memikirkan bagaimana manusia yang hebat-hebat di dalam gerakan itu boleh percaya bahawa saatnya akan tiba bila Mahathir meletakkan jawatan dan Ghafar Baba menjadi Perdana Menteri Malaysia. Akibat tidak tahan tekanan maka Ghafar Baba akan menyerahkkannya kepada Abuya untuk menerajui Malaysia kemudiannya.

 

Saya masih ingat sewaktu kecil dan pernah satu ketika dahulu saya tuliskan didalam blog ini saat-saat saya sering dibawa bertemu Tuan Guru Nik Aziz. Waktu itu beliau masih jauh perjalananannya dari menjadi Menteri Besar Kelantan.

 

Atas ikatan persaudaraan, arwah ibu sering bawa saya bertemunya kerana ibu sering meminta tok guru yang kami panggil Ayah Zit itu  berdoa untuknya. Waktu itu  agak-agak saya sekitar tahun 1975 hingga 1979.

 

Ayah Zit akan duduk disebalik tirai yang dibuat khas di satu sudut ruang tamu rumahnya di Pulau Melaka. Tirai itu memisah dia dengan tetamu perempuan yang datang menemuinya.  Setiap kali menemuinya, saya akan duduk di ribanya manakala ibu duduk disebalik tirai itu.

 

Kesan dari ingatan saya terhadap peristiwa tersebut, ketika saya mengarang lakon layar filem Perempuan Melayu Terakhir pada tahun 1997, saya letakkan insiden tersebut di dalam beberapa adegan itu.

 

Waktu itu Engku Leh duduk disebalik tirai yang memisahkan antara dia dan tetamu perempuan yang menemuinya. Bagaimanapun, memandangkan pengarah filem itu tidak pernah mengalami pengalaman yang saya lalui, dia tidak dapat mengangkat roh kejadian tersebut lalu cuba untuk memberi penjelasan mengapa tirai itu memisahkan Engku Leh dan Mustika, tetamu perempuannya. Didalam filem tersebut, Engku Leh dibuat sedang menconteng kaligrafi diatas tirai itu.

 

Baru-baru ini, setelah sekian lama memendam kesangsian, saya bertanya seseorang yang rapat dengan Nik Aziz. Pertanyaan saya ialah mengapa sudah tidak ada tirai yang memisahkan antara Nik Aziz dengan tetamu perempuan? Jawapan diberikan kepada saya tetapi saya merasa kurang puas dengan jawapan itu. Mungkin satu hari saya mahu bertanya sendiri pada Ayah Zit.

 

Setelah sekian lama tidak melayari laman-laman blog, pagi ini saya sempat melayari beberapa blog dan saya bertemu satu artikel indah tercatat disini yang antara lainnya mencatatkan,

 

“Kalau dulu Tok Guru berkeras yang musabaqah al-Quran untuk qari sahaja, kerana suara wanita adalah aurat,sehingga tiadalah wakil qari’ah dari Kelantan, pegangan yang agak strict, Sekarang bukannya setakat Tok Guru mengatakan tutup muka itu tidak wajib, bahkan Tok Guru menzahirkan ketidak-setujuannya terhadap amalan wanita yang tutup muka. Tidak berapa lama dulu, SIS dan kumpulan wanita yang lain marah kepada Tok Guru kerana menyalahkan wanita yang tidak menutup aurat dan bermekap sebagai penyebab berlakunya jenayah rogol. Tok Guru pernah dikatakan mengatakan wanita yang tidak cantik patut diutamakan dalam pemilihan untuk mengisi jawatan kerajaan, kerana yang cantik boleh mendapat suami yang berjawatan. Memang pandangan yang strict. Entahlah, bila timbul kupasan isu niqab ini , saya tidak dapat memahami consistency-nya; kalau strict, biarlah istiqamah strict-nya….

 

Kalaulah ulama berubah pendirian kerana menemui nas yang baru atau mendapat kefahaman terhadap nas secara baru, atau perubahan dalam sebab musabbab yang menjadi sandaran kepada sesuatu hukum itu diputuskan, maka ianya suatu kewajaran. Imam as-Shafi’ie ada memberi pendapat lama dan pendapat baru. Tetapi perubahan pendapat itu dapat dikupas secara ilmiyyah dan bertanggung-jawab, tiada celanya Imam as-shafi’ie kerana membaharui pendapatnya sendiri. Tetapi sekiranya perubahan itu mengikut selera sendiri-sendiri atau selera politik kepartian, maka ulama itu boleh dikatakan tidak kecap/kemas fahaman dan penghayatannya.” Mungkin menarik juga bagi anda untuk membaca sepenuhnya tulisan ini supaya tidaklah saya dibelasah sebagai mengangkat teks di luar konteks. Klik sini.

 

Kadang-kadang terfikir juga saya, mungkin ada yang akan mengarang pula buku bertajuk, “Gugurnya Bulan Purnama” atau “Bila Purnama Retak Seribu” atau mungkin juga “Purnama di Telan Gerhana”, dan mungkin ia akan jadi bacaan yang kalau tidak lebih menarik pun, mungkin setanding dengan kisah-kisah di dalam Tersungkur Di Pintu Syurga.






Tomato Ceri Organik dan Anak Yatim Melawi

11 10 2009

Tomato Cherry_0006

Gembira tak terkira bila saya melihat Tomato Ceri yang saya tanam secara organik mula merah buahnya di tepi pagar rumah. Lebih gembira lagi buah ini terhasil dari penggunaan sisa-makanan dan sisa organik dari dapur yang saya jadikan kompos untuk menggantikan penggunaan tanah biasa.

Sebelum ini cubaan terhadap pokok bendi dan terung panjang juga telah berjaya. Bagaimanapun kegembiraannya tidak sama dengan kejayaan Tomato Ceri ini. Ini kerana sebelum beralih ke kaedah organik, dua tahun lepas saya pernah mencuba menanamnya secara konvensyenel tetapi pohonnya sekadar besar tanpa buah.

Bagaimanapun, benda yang baik tentu ada perosaknya. Cubaan menanam secara organik sepenuhnya berdepan dengan ancamannya tersendiri. Yang paling ketara ialah serangan serangga perosak.

Bagaimanapun, ia mungkin serangga perosak bagi petani tetapi bagi insan yang menganggap ini hanya satu hobi, saya menerima kedatangannya sebagai tamu dilaman kecil ini. Saya gembira berkongsi hasil makanan yang berkualiti tinggi dengan makhluk lain ciptaan Yang Maha Pencipta.

Kita berhak keatas rezeki yang diberikan kepada kita, tetapi hanya sekadar yang kita perlukan, bahagian yang lebihnya, adalah rezeki buat makhlukNya yang lain yang diberikan melalui kita, mungkin begitu.

Ia membawa saya kepada sambungan kisah Anak Yatim Melawi. Tanggal 1 Syawal saya menerima sms dari sahabat yang kembali berhari-raya dari Dubai, khabarnya membawa kutipan derma dari rakan-rakannya di sana untuk Ramadan Charity 2009. Mendengarnya, terus terlintas di benak saya anak-anak yatim Melawi yang Haji Husam dan saya kunjungi sebelum berakhir Ramadhan yang lalu.

Melawi Orphan_0003

Pada hari Khamis, 1 Oktober yang lalu, Haji Husam meraikan anak-anak yatim Melawi dalam satu majlis makan tengahari di Royal Guest House, Kota Bharu. Haji Husam juga berbesar hati menyampaikan sumbangan RM600 yang dikutip oleh sahabat saya Saudara Rusdi dari Dubai.

Sewaktu mengiringi adik bongsu dari 5 beradik itu memasuki ke dalam hotel tersebut, separuh perjalanan saya tersedar dia tidak memakai selipar dan saya dengan sayu menyedari, dia telah membuka seliparnya dan ditinggalkan diperkarangan masuk ke hotel.

Dia berkata dia berbuat demikian kerana hotel ini cantik dan tidak mahu merosakkan hamparan permaidani hotel itu.

Betapa sensitif jiwanya terhadap benda-benda yang sering kita anggap bukan milik kita. Betapa mulia jiwa dan perasaan anak kecil itu. Dalam diam saya berkata disudut sanubari saya, alangkah indahnya dunia ini kalau kita dewasa dalam jiwa dan perasaan semulia anak kecil itu.

Jelasnya, kemulian tidak datang dari rumah besar, kereta mewah dan dengan beristerikan anak orang besar-besar. Dalam hal ini, kemulian datang dari jiwa kecil yang tercalar oleh penindasan sesama manusia yang bergelut menuju kedewasaan didalam pondok usang bocor disana-sini.

Malangnya, kemulian itu akan dikorupkan hari demi hari dan kematangan adalah satu proses korupsi.

Tetapi saya lebih suka melihat, di satu pelusuk sana, pada insan kecil itu, masih ada harapan. Ini beerti, harapan masih lahir didunia ini.

Seperti usaha organik saya, harapan itu datang dari sisa-sisa buangan.