Saya Letak Jawatan!

14 11 2006

17:59, 22 Jun 2002. … saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan … mengumumkan.. satu… perletakan jawatan saya (tersebak sambil meminum air) perletakan jawatan saya sebagai Presiden UMNO dan semua jawatan-jawatan… yang dipegang oleh saya… dalam parti, perletakan (jawatan) saya sebagai pengerusi BN dan semua jawatan dalam BN …

— Mahathir Mohamad

Semasa itu, seluruh perwakilan dalam Dewan Merdeka terpaku dan tersentak, dan serentak itu suasana kecoh berlaku dalam dewan itu – para perwakilan tidak bergerak dari Dewan Merdeka.

Datuk Seri Rafidah Aziz , orang pertama yang menerpa ke arah Dr. Mahathir di rostrum sambil berkata, why? Why?

Dalam keadaan kelam kabut itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyambar mikrofon secara spontan dari tempat duduknya dan berkata, kita tidak boleh terima ini… kita minta Datuk Seri tarik balik.

Dr. Mahathir menjawab, No..no.. I have decided… I have decided… dah lama dah. Serentak itu, Datuk Hishammuddin Hussein turut meluru ke rostrum sambil menangis memegang bahu Dr. Mahathir dan kesemua ahli MT menyerbu dan mengelilingi Perdana Menteri.

Dr. Mahathir yang dikerumuni oleh para anggota MT, kelihatan sebak, menangis dan menggeleng-gelengkan kepalanya seolah-olah sebagai tanda beliau tidak mahu berganjak dengan keputusannya.

Setiap tahun sejak Persidangan Agung UMNO disiarkan secara langsung di Televisyen, seingat saya, saya tidak pernah melepaskan peluang untuk mendengar ucapan dasar dan ucapan penggulungan oleh Presiden UMNO ke 5. TDM mempunyai daya penarik tersendiri di dalam ucapannya, bersahaja tetapi keras dan pedas. Terutama sekali di dalam ucapan penggulungannya yang sering membuat saya tidak kering gusi. Bahkan saya dapati bukan saya sahaja, ramai kawan-kawan dari bangsa lain turut menanti untuk mendengar ucapan penggulungan TDM. Ianya seolah satu sumber hiburan berkualiti tinggi. Dan hari bersejarah itu, saya masih ingat, saya tergesa-gesa kembali ke rumah untuk menonton siaran langsung ucapan penggulungan TDM, dan waktu saya mula menontonnya, TDM sedang di tengah-tengah ucapannya. Saya cepat-cepat betulkan kedudukan di sofa dan entah mengapa dengan tidak semena-mena Tun berkata “saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan … mengumumkan.. satu… perletakan jawatan saya” selainnya sejarah yang kita sudah tahu. Saya memandang ke arah isteri saya dan kami tercengang. Segera saya panggilkan anak-anak saya supaya duduk diam-diam di hadapan TV. Bila mereka bertanya kenapa, jawab kami serentak “Che Det letak jawatan”, “Apa tu letak jawatan mummy”, tanya anak saya yang nombor dua, “Dia dah tak mau jaga kita lagi…” jawab isteri saya. “Kenapa Che Det tak mau jaga kita lagi mummy”, tanya yang sulong. “habis sapa nak jaga kita mummy?”, celah yang anak saya yang kedua tadi. Persidangan Agung UMNO selepas era Mahathir sudah tawar dan tiada apa yang nak dinantikan di dalam ucapan dasar Presiden, apa lagi di dalam ucapan penggulungannya. Mendengar Abdullah (saya dah tak mau kutuk dia lagi LAH) berucap, saya seperti mendengar nenek saya membebel sambil mengejar ayam di bawah rumah waktu pagi-pagi di kampung dulu. Saya akan tarik selimut dan tarik bantal telangkupkan ke kepala. Tak ada faedahnya, membosankan. Dan apabila tiap-tiap tahun anda mendengar benda yang sama, anda mula tertanya kepada diri anda, orang tua ni dah desperado sangat ke? Tak habis-habis, duduk nak ingatkan orang tentang sumbangan dia. Tapi apa sumbangan dia yang kita nak diingat. Tak habis-habis nak isi bakul dan angkat sendiri sebab rakyat tiada yang memujinya. Tetapi itulah rumusannya. Abdullah memanglah seorang pemimpin yang sah menerusi proses undang-undang, tetapi adalah baiknya kalau orang macam Abdullah ini balik sahaja ke kampung dan kejar ayam di bawah rumah tu, mungkin lebih berfaedah kepada ayam-ayam itu dan juga kepada orang kampung daripada tanpa segan silu mengaku dia tidak mahu jadi Perdana Menteri untuk satu penggal. Memanglah, majoriti rakyat Malaysia pun tidak mahu Abdullah menjadi Perdana Menteri untuk satu penggal, kami mahu dia bersara sebelum cukup satu penggal. Tujuan saya menulis malam ini bukanlah untuk mengutuk Abdullah, lebih baik saya tidur dari bercakap tentang kaki tidur, tetapi saya mahu mengingatkan kembali detik-detik perletakkan jawatan TDM secara mengejut. Bagaimana ia memberi kesan kepada kita semua. Bagaimana ia meragut kebahagian yang kita miliki sebelum itu. Saya sering terfikir, ke manakah Tun Dr. Mahathir akan bawa kita jika sepuluh tahun pertama pemerintahannya, TDM tidak perlu berdepan dengan kemelut penentangan oleh Tengku Razaleigh, Musa Hitam, Abdullah Ahmad Badawi dan separuh dari kabinetnya. Ke manakah Tun Dr. Mahathir akan mampu membawa kita, jika di penghujung sepuluh tahun pertamanya itu, dia tidak perlu membahagikan masanya di dalam memerintah negara dan pada waktu yang sama membina semula parti UMNO Baru. Saya sering terfikir, di manakah puncaknya pemerintahan Tun Dr. Mahathir, jika di sepuluh tahun kedua pemerintahannya, dia tidak perlu berdepan dengan arus kebangkitan Melayu Wawasan yang penuh kontroversi. Di manakah puncaknya pemerintahan beliau jika di dalam tempoh itu beliau tidak perlu membahagikan masa memerintah negara dan pada waktu yang sama membuang masa kerana terpaksa mencuci berak orang-orang seperti Osman Arrof, Muhammad Muhammad Taib, Rahim Tamby Chik, Abu Hassan Omar, Annuar Musa, Sabaruddin Chik dan lain-lain Menteri Kabinet, Ketua Menteri dan Menteri Besar. Saya sering terfikir, sejauh manakah Tun Dr. Mahathir dapat membawa kita menakluki dunia ini, jika di sepuluh tahun terakhirnya, tidak timbul Buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM. Jika sepuluh tahun terakhirnya dia tidak perlu berhadapan dengan penentangan Anwar Ibrahim dan penyokong reformasi. Saya sering terfikir, sehebat manakah bangsa Malaysia di kaca dunia, jika di penghujung pemerintahannya, Tun Dr. Mahathir tidak perlu berkerat rotan dengan Tun Daim Zainuddin yang amat disanjungnya, dan terpaksa berdepan dengan keruntuhan empayar korporat Melayu. Dan saya sering berfikir, apakah yang difikirkan oleh orang-orang seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Musa Hitam, Abdullah Ahmad Badawi, Osman Arrof, Muhammad Muhammad Taib, Abu Hassan Omar, Annuar Musa, Sabaruddin Chik, Anwar Ibrahim, Daim Zainuddin, Halim Saat, Tajuddin Ramli dan ramai lagi. Apakah yang mereka difikirkan bila pada 22 Jun 2002, seorang insan bernama Mahathir mengumumkan perletakkan semua jawatannya di dalam parti dan kerajaan. Tidakkah mereka melihat betapa lafaz-lafaz itu di isi dengan nada yang penuh kekecewaan? Tidakkah mereka merasa mereka adalah sebahagian dari kekesalan itu. Tidakkah mereka terfikir, andainya mereka tidak pernah wujud di dalam dunia pemerintahan Mahathir, betapa jauhkan negara ini dapat di pacu oleh Mahathir? Sayang, Seribu kali sayang. Sepanjang dua dekad pemerintahannya, terlalu banyak najis-najis Menteri Kabinet, Pembesar Negeri, Kakitangan Kerajaan Pusat dan Negeri yang terpaksa di bersihkannya. Tun Dr. Mahathir, pemimpin agung kita, terpaksa menghabiskan sebahagian dari pemerintahannya sebagai pencacai mengangkat najis mereka ini. Aduh… kesal saya. Tun, terlalu banyak sumbanganmu yang saya dan keluarga saya nikmati. Terlalu sedikit yang dapat kami pulangkan untuk mu menikmatinya.

Perjuanganmu bukan mencari Al Ghazali, bukan juga mencari damai di hati, perjuangan mu sungguh tulus, perjuangan mu mencari damai hakiki buat bangsa dan tanah air mu. Demi itu, kau bakar dirimu.

Selamat malam perwiraku. Selamat berehat. Semoga damai yang tidak pernah kau cari, datang juga menyerah diri pada mu. Kubujuk hati nan rindu melihat engkau berlalu terpegun bagai mimpi hilang kau dari sisi kini ku sendiri Bersama membelah badai bersama menyusur pantai dan aku menyedari kini kau tiada lagi Kejujuranmu kesetiaanku Kata akhir darimu Bersama cindai putih kau bawa bersama kasih tak kesampaian (Ramli Sarip)





Selamat Tinggal Bob

11 11 2006

Sewaktu memandu pulang dari Universiti tengahari ini, 11 November 2006, saya mendapat sms yang memang sudah saya nantikan sejak sehari dua ini. Tetapi kedatangan sms itu tetap diselubungi perasaan sedih, sms itu berbunyi,

Berita sedih, Dr. Jamaluddin Osman, telah pulang ke Rahmatullah pagi ini, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, Al Fatihah.

Dr. Jamaluddin Osman atau lebih dikenali oleh para pelajar dan sahabatnya sebagi Dr. Bob telah meninggal dunia setelah nazak selama dua hari yang lalu di Hospital Univesiti Sains Kubang Kerian, Kelantan. Dr. Bob, seorang Pengajar, aktivis, pengarah dan pelakon di dalam bidang teater dirujuk ke Hospital berkenaan oleh klinik di USM setelah mendapati kakinya bengkak. Pemeriksaan lanjut di Kubang Kerian mengesahkan beliau mengidap Barah Hati, stage 4. Mulai saat itu, mereka yang mengenalinya sudah menjangkakan, berita yang lebih sedih akan menyusuli dalam tempoh yang terdekat.

Saya masih ingat, Julai 1990, minggu ke dua saya di Pulau Pinang, Bob pula baru tamat pengajiannya di peringkat Sarjana Muda dan menerima tawaran sebagai skim tenaga pengajar muda USM. Beliau adalah tutor saya di dalam kurus Pengantar Teater. Bob cukup rendah diri walau berbudi bahasa mungkin bukan budayanya, tetapi kata-kata kasar kalau keluar dari mulutnya, penuh kelucuan.

Perhubungan di antara Pengajar dan Pelajar yang dipelopori oleh Bob, menjadi amalan berterusan di Pusat Seni USM, tiada batasan di antara dua kumpulan manusia ini, teater untuk semua, dan teater memanusiakan manusia. Itulah slogannya.

Dari perhubungan Pengajar dan Pelajar, saya terlibat dengan Persembahan teater As-Syura sebagai tenaga pentas, Bob adalah Pelakonnya. Kemudian Bob mempelawa saya menyertai Persembahan Kebudayaan sempena perasmian Kampus Kejuruteraan USM di Tronoh oleh Yang Di Pertuan Agung waktu itu.

Masih jelas ingatan saya perjalanan dari Minden ke Tronoh itu. Saya dan Bob berada di barisan belakang bas, dan sepanjang perjalanan itu kami semua dihiburkan oleh Bob yang tidak mengenal erti letih. Aksi-aksi Bob hari itu masih jelas di dalam ingatan saya.

1992 menyaksikan Bob mendirikan rumahtangga dan meninggalkan kami untuk ke United Kingdom bagi melanjutkan pelajarannya di peringkat Sarjana dan di susuli pula dengan Doktor Falsafah.

Kepergian Dr. Jamaludin Osman, pada usia yang muda membawa bersama pengetahuan dan pengalaman luasnya di dalam bidang teater dan merupakan satu kehilangan yang sukar diganti. Penderitaannya akibat barah hati mengecewakan rakan-rakan dan pelajarnya yang tidak dapat berbuat apa-apa, selain sekadar mendoakan supaya dia sentiasa tabah.

Dr. Bob, selamat tinggal guruku, selamat tinggal sahabatku, selamat tinggal perjuang seni teaterku. Hari ini, kau tinggalkan kami dan pentas dunia ini, tetapi, di sana pentas baru menantimu sahabatku, dan satu hari, satu hari pejuangku, sahabatku, guruku, aku akan mengunjungimu juga di sana, di pentas baru itu. Sehingga saat itu, aku pasti akan rindu padamu.

Bila kekasih

mengundang aku pulang

Mahligai menanti penuh gemilang

Bila kekasih

menyingkap tabir cinta

Tiada terbatas dengan kata-kata

Dapatkah aku

membalas dengan air mata

Tanda syukur menerima

Setelah sekian lama

Menghamba hidup pada dunia

Seribu tahun takkan sama

Sesaat bersatu dalam nyata

Kerna kasih ku sanggup korbankan

Jasad dan nyawa

Terang bulan kerana mentari

Hadir bayang kerana cahaya

Begitulah cinta kita

Tiada jarak pemisah lagi

Tiada garis sempadan budi

Aku terima dan jua memberi

Seikhlas hati

Seribu tahun dan sejuta langkah

Seribu tahun bersinar cinta

Kita bertemu di penghujung rindu

(Jamal Abdillah, Penghujung Rindu)





Bukan Al Ghazali Saya Cari, Bukan Khairy Saya Cari.

6 11 2006

Terbaca kisah Bangsa Malaysia dan kenyataan Ghani Othman berhubung dengan isu itu sedikit sebanyak mengerudi jiwa saya untuk mencatit sesuatu. Sesuatu yang selama ini saya simpan rapat di hati saya, sesuatu yang lebih sensitif dari memperkatakan perihal Dollah Kaki Tidur itu. Saya ingin bercakap tentang profesion saya. Ia, setelah dua tahun menjadi pemandu tidak bergaji kepada Gemullah Wakil Rakyat Pas akhirnya saya berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Ke peringkat yang membawa saya menukar arah dari merenung bulan mengambang kepada bermain nombor ekor 46. Kemudian saya memperhambakan diri saya menjadi orang wayang. Bikin wayang di sana dan bikin wayang di sini sambil menjenguk-jenguk ruang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Kebetulan pada waktu yang sama, Parti Melayu Semangat 46 dibubarkan. Saya menyertai UMNO bersama rakan-rakan lain dan menyandang jawatan Ketua Pemuda Cawangan selama dua penggal sehinggalah apabila isu Dato’ Seri Anwar Ibrahim membakar kita semua. Saya jauhkan diri saya dari politik dan pada waktu yang sama jauhkan diri saya dari menyertai demonstrasi jalanan. Saya buat keputusan nekad untuk melanjutkan pelajaran. Berdasarkan pengiktirafan-pengiktirafan yang saya terima di dalam bidang bikin wayang dan bukan berdasarkan pencapaian akademik yang tidak seberapa di peringkat Sarjana Muda, saya mendapat tawaran dari 2 British Top University, bukan Ofxord LAH!. Tetapi saya gagal mendapatkan biasiswa dan bantuan kewangan. Lalu saya memohon buat kali ketiga dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional yang bertanggungjawab membangunkan industri wayang gambar kita. Permohonan saya yang pertama dari FINAS ialah pada tahun 1994 tetapi di tolak dengan alasan yang diberikan oleh Pegawai FINAS bahawa FINAS hanya hantar orang yang popular. Sebelum saya mendapat tempat dari BTU saya sekali lagi memohon dan kali ini dikeji dengan kata-kata, awak tamat pengajian nanti mampu ke nak bayar pinjaman dari FINAS. Maka setelah saya mendapat tempat, saya tuliskan surat kepada Ketua Pengarah FINAS dan saya buatkan salinan kepada Dato’ Seri Dr. Mahathir, Perdana Menteri waktu itu, Tan Sri Khalil Yaakob, Menteri Penerangan waktu itu dan Tun Daim Zainuddin, Pengerusi MTEN waktu itu. Selang dua minggu sewaktu saya masih sedang tidur, seorang lelaki yang mengaku sebagai Ketua Pengarah FINAS telah menelefon ke rumah saya dan memaki hamun isteri saya di atas tindakan saya membuat salinan kepada Perdana Menteri. Apabila bangkit dari tidur, saya seperti tidak percaya lalu saya menghubungi FINAS dan minta bercakap segera dengan Ketua Pengarah FINAS. Sebaik sahaja saya memperkenalkan diri saya, beliau segera memaki hamun saya dengan bahasa yang kesat sehingga saya mengambil tindakan dengan berkata “Shariff FUCK YOU” dan merembaskan telefon. Bak kata orang, selepas itu hubungan saya dengan FINAS – FINISH!. Dalam percaya atau tidak, saya menerima panggilan daripada Pengarah Pengajian Tinggi yang meminta saya bertemunya segera di atas permintaan Menteri Pendidikan. Khabarnya, Pegawai khas Tun Daim meminta Pegawai khas Menteri Pendidikan memajukan surat saya. Maka saya pergilah bertemunya hanya untuk dikecewakan oleh Kementerian Pendidikan disebabkan ketiadaan peruntukan untuk individu seperti saya yang bukan kakitangan Kerajaan. Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Usahawan telah membuat kenyataan akhbar bahawa MARA hanya akan memberi pinjaman pelajaran kepada penyokong kerajaan dan bila ditanya oleh media bagaimana kerajaan menentukan siapa penyokong kerajaan, Dato’ Seri Nazri Aziz berkata, “Sekilas ikan di air dan tahu dah jantan betina”. Saya pun segera mendapatkan borang pinjaman Pendidikan Mara bagi BTU, mengisinya dan menghantar sekali sijil Ketua Pemuda UMNO saya. Haram. Tiga bulan selepas itu saya mendapat surat dari MARA yang memaklumkan bahawa permohonan saya di tolak di sebabkan bidang Perfileman bukan bidang kritikal. Bukan bidang kritikal? Di dalam Perdana Menteri ketika itu sibuk bercakap pasal E-Village dan industri multimedia, bidang saya dikatakan tidak kritikal. TakpaLAH, dah bukan rezeki noo. Apa nak buat. Saya lupakan hasrat saya untuk menyambung pengajian sehinggalah pada suatu hari lebih kurang enam bulan setelah saya mengutus kepada FINAS, saya mendapat panggilan telefon dari Pegawai Khas kepada Menteri Tugas-Tugas Khas, iaitu Tun Daim Zainuddin menghubungi rumah saya dan meninggalkan pesan supaya saya hubunginya atas alasan Tun ingin tahu perkembangan terkini. Terperanjat beruk bukanlah bahasa yang sesuai lagi untuk menggambarkan terkejut saya bila pembantu rumah Indonesia saya tersimpul-simpul lidahnya mengingati pesanan yang diterimanya. Terperanjat dinasour terus saya. Atau lebih tepat terperanjat SCOMI saya. Dipendekkan cerita, selepas 12 tahun mengutip pengalaman di dalam industri dan setelah beberapa anugerah yang saya terima tersimpan di dalam kotak kadboard dari IKEA, saya kini bertugas mengajar mahasiswa membikin wayang. Tetapi kerja saya amat sensitif dan di pandang serong oleh industri. Pengkhianat bangsa adalah kata-kata indah kalau dibandingkan dengan ungkapan lain yang saya terima. Saya di Persona Non Grata kan kerana saya kini berkhidmat mengajar mahasiswa yang rata-ratanya berketurunan Cina untuk mengambil alih ketuanan Melayu di dalam industri filem Melayu. Saya di gajikan oleh institusi pendidikan Cina yang bercita-cita tinggi dan berwawasan agung yang dipimpin dengan penuh profesionalisme dan sentiasa pro aktif terhadap pembangunan kakitangan akademik dan bukan akademiknya. Satu ketika dahulu saya merasakan saya akan menjadi minoriti dan memilih untuk berhijrah sahaja ke New Zealand, ha ha ha. Tetapi akhirnya saya sedar. Di institusi ini saya menjadi Warga Bangsa Malaysia yang hormat menghormati satu sama lain tanpa memperkatakan soal bahasa, bangsa dan agama. Kami bertutur di dalam Bahasa Inggeris dan kami disatukan dengan semangat akademia yang tinggi. Menghormati kepakaran masing-masing dan tidak melangkah ke bidang yang bukan kepakaran kita. Di sini tiada perasaan hasad dengki dan benci. Apabila ditawarkan sebarang jawatan, kami sendiri menilai kedudukan dan senioriti kami dan rata-rata membuat keputusan menolak jawatan tersebut jika merasakan tindakan itu sebagai melangkah bendul. Ini dunia utopia institusi pengajian tinggi. Kenapa? Kerana kakitangan Melayu yang berada di sini kesemuanya tidak pedulikan semangat dan aspirasi Melayu dan tidak membawa budaya Melayu yang penuh dengan hasad dengki. Kerana kakitangan Keturunan lain tidak membawa adab budaya negatif mereka yang sudah menjadi stereotaip dengan budaya mereka. Kerana kami semua tidak mencari Al Ghazali seperti Dollah Kaki Temberang dan tidak mulut cabul seperti Nazri Balaci. Dan walaupun kami mengajar membikin wayang, kami sendiri tidak bermain wayang seperti kaki-kaki ampu dalam kabinet. Kerana kami sebenarnya membina warga Bangsa Malaysia. Jadi apabila Ghani menolak warga Malaysia, sebenarnya untuk apa? Adakah untuk terus menjahanamkan bangsa Melayu yang semakin hari semakin jahaman. Apakah dengan terus memperjuangkan semangat keMelayuan, UMNO dapat menjamin anak-anak gadis Melayu tidak mengamalkan seks bebas dan menjamin tiada gambar gadis-gadis Melayu bertelanjang di dalam Internet. Adakah dengan mempertahankan semangat Melayu kita akan terus memaksa orang Melayu mengagungkan Bahasa Melayu dan sekali lagi membuat kesilapan yang membunuh masa depan anak-anak Melayu. Adakah dengan mempertahankan semangat keMelayuan, orang-orang Melayu akan terus meningkat ekonominya dan berjaya menandingi bangsa lain atau hanya segelintir bangsa Melayu yang bergelar kroni sahaja yang akan terus meningkat ekonominya. Jika selama 20 tahun Tun Dr. Mahathir cuba mengubah Bangsa Melayu dan akhirnya kecewa apakah Dollah yang lebih suka tidur itu akan dapat melakukannya sambil tidur? Membangunkan Bangsa Melayu bukanlah dengan mengajar orang Melayu terus dok jadi Melayu dalam segenap segi. Membangunkan bangsa Melayu bukanlah dengan mengajar orang Melayu menyimpan rasa iri hati dan benci terhadap bangsa lain. Membangunkan orang Melayu bukanlah dengan mengajar mereka menjadi fanatik dan berfikiran sempit. Membangunkan orang Melayu bukanlah dengan meleluasakan amalan rasuah di segenap sudut pemerintahan negara. Tetapi nanti dulu. Mungkin Dollah dalam tidurnya telah mendapat mimpi untuk membangunkan orang Melayu. Mungkin juga. Iaitu dengan menjual bumi dan hak orang Melayu kepada Singapura. Mmm. Menarik LAH. Go AHEAD BRO LAH KUAN YEW. Seorang rakan UMNO pernah menegur saya sambil berkata, apa nak jadi kamu ni, bila nak insaf duduk makan hasil babi je…. Saya hampir pitam geli hati bila mengingatkan saat-saat pemilihan pucuk pimpinan Pemuda Bahagian pada tahun 1997 di Centrepoint Hotel, Saya masih mengingati dia cuba menyelinapkan duit lima puluh ringgit ke dalam kocek saya, dan bila saya untuk apa, katanya duit minyak. Walaupun saya tidak mencari Al Ghazali, tetapi saya tidak akan menjual maruah saya semurah itu. Kemudian pada pemilihan Pucuk Pimpinan Bahagian pada tahun 2004, dia dengan bongkaknya melemparkan segulung wang kertas berjumlah RM350 ke atas meja untuk saya. Saya ambil dan saya selinapkan ke dalam koceknya, lalu berkata “I will not sell my soul to satan…” Kelipok-kelipok matanya cuba memahami apa kejadah yang saya cakapkan. Maka setelah sekian lama cuba memahami kata-kata saya, akhirnya dia faham jugak maksud saya dan baru-baru ini rakan UMNO itu bertanya, “Sedara, berapa banyak depa bayar untuk engkau musnahkan bangsa sendiri?”, Saya senyap tidak menjawab. Biarlah dia merasa puas dapat menikam saya dengan lidah bercabangnya. Tetapi untuk tatapan kita, cukuplah sekadar saya berkata, mereka bayar bukan dengan wang ringgit, tetapi dengan masa hadapan saya dan anak-anak saya dan dengan pertaruhkan masa hadapan anak-anak mereka. Sesuatu yang sekian lama saya nantikan dari UMNO. Bukan wang berjuta yang saya cari, bukan Al Ghazali yang saya cari, Khairy pun saya tak cari. Cukup Allah yang satu, cukup Muhammad pesuruhnya, selebihnya adalah hari depan yang terjamin untuk anak-anak saya dan anak-anak Malaysia.





Warkah Terakhir Buat Bonda

1 11 2006

“Kubur Ayahanda masih basah Tetapi kekanda Mahathir dan Razaleigh terus bertikam pindah Bonda, Terdengar jerit pekik mereka, UMNO itu UMNO Malaysia! UMNO itu Semangat 46! UMNO itu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Baru” (Surat Buat Bonda, Sheih 1990, Minden Pulau Pinang) Bonda, Segaja anakanda nukilkan imbasan surat anakanda kepada bonda hampir dua dekad yang lalu. Segaja anakanda ingati detik-detik sedih kepergian ayahanda dahulu. Entah mengapa, kerap kali ayahanda kembali dalam mimpi-mimpi anakanda. Apakah firasatnya di sebalik mimpi-mimpi sedih ayahanda. Bonda, Anakanda masih ingat detik-detik terakhir kepergian mengejut ayahanda. Anakanda masih mentah. Memang. Memang anakanda masih mentah waktu itu. Tapi, anakanda masih mengingatinya dengan jelas. Jenazah ayahanda di rapati kekanda Mahathir dan kekanda Razaleigh. Masing-masing mahu merapatkan kelopak mata ayahanda yang terus terbuka walau jasadnya kaku tidak bernyawa lagi. Anakanda masih ingat saat kekanda Razaleigh menurunkan jenazah arwah ke liang lahat. Anakanda masih ingat saat Kekanda Rais menghulur tangan menarik kekanda Razaleigh dari liang lahat untuk duduk di sisi bonda mendengar bacaan talkin buat ayahanda. Sayup anakanda masih mendengar bisik-bisik hari itu. Ya bisik-bisik angin kononnya kematian ayahanda diracun kekanda Mahathir. Bonda, Dustalah anakanda jika anakanda katakan sedikitpun anakanda tidak merasa bersalah bila anakanda membuat keputusan untuk berkelana bersama kekanda Razaleigh sepermegian ayahanda. Perit jerih mengenangkan kekanda Mahathir yang anakanda tinggalkan kembali menghantui siang anakanda, kembali meronai malam anakanda. Tetapi kekanda Mahathir sememangnya tabah. Biar keseorangan dia terus menongkat bangun dari tikaman kekanda Razaleigh. Dan bila sembuh lukanya, dihulurkan tangan salam buat kekanda Razaleigh. Tidak dapat anakanda gambarkan kegembiraan yang melinangkan airmata melihat kekanda Razaleigh menyambut salam itu setelah terbakarnya segala jambatan selama berkelana. Bonda, Sehingga kini masih tegak bulu roma anakanda mengenangkan saat-saat kelam sedetik selepas kemergian ayahanda itu. Mungkinkah kita akan menyaksikan kekelaman itu kembali lagi. Anakanda risau bonda. Risau yang amat sangat. Sihatkah kekanda Mahathir. Mampukan dia mengharungi medan perang yang melintang di hadapannya seperti zaman kependekarannya dahulu. Mampukah dia menangkis segala dendam kesumat yang berkeris datang berkelok terpa. Mampukah dia menghadapinya seorang diri bonda? Mampukah kekanda Mahathir? Bonda, biar dikejauhan, hembuskanlah restu bonda buatnya, restuilah langkahnya ke medan tempur yang bukan lagi gelanggang permainannya seperti dulu-dulu. Bonda, serukanlah segala perwira yang sudah lama menimbuskan perjuangan lalu bangkit bersama kekanda Mahathir. Ingatkanlah mereka pada kalimat akhir ayahanda, kalimah keramat yang dibisikkan kepada kekanda Rahman, kekanda Hussin dan kekanda Razaleigh sebelum kesejukan kaku menyelimutinya. Inilah perjuangan terakhir buat kita. Rintangan membujur lampau hanyalah persediaan untuk perjuangan maha agung ini. Perjuangan untuk memusnahkan kemunafikan hadhari yang sudah tiga tahun merantai kita. Bonda, sampaikanlah khabar derita ini buat semua, ajal itu milik semua, dan ajal itu juga milik kekanda Mahathir dan kemunafikan yang ditentangnya. Ajal itu juga milik kita walau dalam bangun atau terlantar tidur. Bonda, keris usang pesaka ayahanda sudah anakanda asapkan, sudah anakanda limaukan, sudah anakanda seru penjaganya, sudah anakanda lurut petakanya. Menjelang purnama, anakanda akan berangkat bersama kekanda Mahathir ke medan juang. Dan bonda, restukanlah setiap langkah anakanda berdua. Bonda, Andai ini warkah terakhir buat bonda, andai ini khabar terakhir dari medan perang anakanda, andai ini penghujung kasih sayang kita, andai nanti tiada lagi anakanda, janganlah bonda tangisinya. Usahlah bonda kenanginya. Tak perlulah bonda semadikannya. Biarlah kepergian anakanda ini tidak bernesan. Sebab anakanda mahu terus hidup bersama semangat juang kekanda Mahathir berabad lagi. Tetapi jika keajaiban itu menjadi milik kita, kemunafikan itu dapat kita dustakan, anakanda tidak sabar lagi untuk kembali dan sujud di kaki bonda. Bonda, Restuilah perjuangan terakhir ini. Dari medan juang, Anakanda